Bekas Datuk Bandar JB hadapi 12 tuduhan rasuah RM1.55 juta

Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru pada Ahad atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.55 juta antara tahun 2020 hingga 2021.
Datuk Adib Azhari Daud, 63, didakwa menerima wang untuk diri sendiri sebagai upah membantu dua lelaki mendapat pelbagai projek di kawasan MBJB melalui seorang lagi individu lain bernilai antara RM10,000 hingga RM250,000 menerusi 12 transaksi berbeza.
Antara projek-projek itu ialah kerja-kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan bagi tempoh 28 bulan; kerja penyelenggaraan tahunan mencantas dan menebang pokok bagi tempoh 24 bulan; dan kerja penyelanggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan.
Selain itu kerja membina dan menyiapkan Jalan Banjaran; kerja mengatasi masalah tebing runtuh di Flat Sri Orkid dan Taman Bukit Tropika; dan kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrikal pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, Sungai Chat dan Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan.- Bernama- 2/6/2024