Saturday - 3, May 2025

Harga diesel tanpa subsidi RM3.35 mulai Isnin…

Share

Harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin.

Namun langkah ini tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini harga diesel seluruh negara seperti diumum pada 5 Jun lalu ialah RMM2.15 seliter.

Ini bermakna kenaikan harga diesel tanpa subsidi ialah sebanyak RM1.20

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada Ahad berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

“Namun, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

“Kerajaan dah bertahun-tahun mengawal harga di stesen-stesen minyak. Ada kaedah yang kita boleh stabilkan harga. Jadi, kalau ada lonjakan harga kita akan cuba stabilkan harga.

“Bagaimanapun jika kenaikan harga drastik dijangka dalam tempoh lama, kita akan lihat bagaimana kaedah terbaik yang kita boleh buat,”katanya..

Beliau menegaskan, penyasaran semula subsidi yang dilakukan kerajaan adalah memastikan ia memanfaatkan golongan yang benar-benar layak sahaja dan mahu ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara dihentikan.

Katanya, dengan langkah itu juga, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

Beliau berkata sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel persendirian daripada kategori B40 akan menerima RM200 di bawah program subsidi BUDI MADANI esok.

Menteri itu berkata, permohonan untuk mendapatkan subsidi bersasar masih dibuka dan pengguna yang layak digalakkan segera mendaftar dengan sistem BUDI MADANI.

Dalam pada itu Amir Hamzah yakin bantuan tunai RM200 secara bulanan untuk pemilik kenderaan diesel cukup untuk menampung peningkatan perbelanjaan diesel mereka, apabila Harga bahan api itu akan diapungkan bermula tengah malam ini di Semenanjung Malaysia.

Katanya jumlah itu ditetapkan berdasarkan data Jabatan Perangkaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedia menerima permohonan daripada penerima bantuan itu, jika jumlah tersebut tidak cukup untuk menampung perbezaan dalam penggunaan diesel bulanan mereka.

“Kalau tengok RM200 (yang diperuntukkan) untuk setiap individu, (jumlah itu berdasarkan) data Jabatan Perangkaan.

“Berdasarkan data yang kita ada, kita Nampak RM200 dapat tampung (kegunaan bulanan) 80 peratus pemilik (kenderaan diesel), lebih kurang,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata subsidi diesel akan ditarik balik untuk ‘golongan kaya dan warga asing’.

Anwar berkata, subsidi diesel akan dilasanakan terlebih dahulu di Semenanjung, sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Bagi mengelakkan sebarang peningkatan drastik dalam kos barang dan perkhidmatan, Anwar berkata subsidi akan diteruskan untuk peniaga yang menggunakan kenderaan komersial berkuasa diesel serta pengangkutan awam.- 9/6/2024

Lebih 30,000 pemohon terima bantuan tunai pertama BUDI MADANI Isnin ini

KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI, setakat hari ini,Khamis.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama berjumlah RM200 pada 10 Jun ini melalui akaun bank penerima, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima BUDI MADANI. Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.

“Permohonan yang dibuat selepas Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk Jun 2024,” menurut kenyataan itu.

BUDI MADANI adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri- Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Pada masa sama MOF memaklumkan berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan disebabkan tidak memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan, antaranya pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di kementerian berkaitan.

Justeru MOF mengingatkan mana-mana pemohon individu yang tidak diluluskan untuk membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my.

Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah kementerian berkaitan dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan BUDI MADANI.

Maklumat lanjut berhubung syarat kelayakan BUDI MADANI boleh didapati di https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di 1-800-88- 2747/03-88824565 / 03-88824566 atau emel di budimadani@treasury.gov.my serta mengunjungi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu manakala seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat BUDI Agri Komoditi. – BERNAMA-6/6/2024

Read more

khabar terbaru