PM bagi ingatan pada ketua jabatan jika tak lapor salah laku kakitangan bawahan…

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu.”
Itu antara kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun di Putrajaya Isnin.
Beliau menyatakan demikian ketika memberitahu akan mencadangkan agar tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan.
Anwar kata dengan langkah berkenaan, ia bermaksud tanggungjawab untuk mencegah amalan salah laku tidak hanya terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, malah pada ketua jabatan dan ketua unit juga.
“Maka saya akan syorkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali) mesyuarat dalam masa terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu sistemnya bobrok dan tidak dilaporkan,” katanya.
“Saya harap saudara faham, kalau tidak saudara boleh pilih tidak mahu jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, maklumkan kepada KPPA, katakan – saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi ketua unit atau jabatan,” katanya.
“Ini bukan soal selamatkan imej dan integriti penjawat awam tetapi untuk selamatkan negara ini.
“Saya mahu Malaysia terkenal sebagai negara bersih atau paling minimum rasuahnya, tidak seperti yang ada sekarang,” kata Anwar.- 10/6/2024