YANG VIRAL

Speaker Dewan Rakyat akan teliti dengan cermat sebelum putuskan kes enam MP Bersatu bila terima notis nanti

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kata beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat setelah nanti terima notis berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian mereka dalam parti, baru-baru ini.

Apapun beliau beritahu setakat ini belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak, berhubung kekosongan kerusi mereka.

Baginya selagi tidak terima notis beliau menilai apa berlaku di luar itu sebagai ‘noise’ sahaja.

Beliau dilaporkan kata demikian oleh Bernama pada Jumaat.

Speaker Dewan Rakyat itu kini dalam rangka lawatan lima hari ke Jepun.

Johari berkata beliau perlu teliti undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

“Pertamanya, pada masa ini belum ada lagi (notis dihantar). Apa berlaku di luar itu pada saya adalah noise dan selagi saya tak menerima secara hitam putih apa yang disebut oleh parti, apa tindakan diambil oleh parti terhadap parti mereka, saya rasa itu bukan bidang kuasa saya…saya tidak harus masuk campur.

“Kedua, saya ambil sikap bahawa mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mereka mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya.

Johari berkata sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau akan mengambil tanggungjawab untuk menilai setiap tindakan wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen dan bukan ahli mana-mana parti.

“Untuk saya mengambil tindakan, saya mesti berhati-hati, saya mesti mendalami segala-galanya, semua aspek sebab apa juga keputusan yang saya buat (bukan sahaja) akan memberi kesan kepada ahli parti itu atau Ahli Parlimen tetapi juga negara.

“Saya mengambil sikap amat berhati-hati serta cermat dan selagi saya tidak yakin dengan keputusan yang saya buat itu, saya tak akan buat dulu.

“Saya amat berhati-hati bukan sahaja undang-undang tetapi moral dan segalanya saya kena pastikan bahawa tindakan saya itu betul dan saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada di jawatan itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button