Anwar tak goyang…walaupun dimaki berbakul-bakul

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempertahankan langkah penyasaran subsidi diesel mulai Isnin dan tidak menunjukkan sebarang tanda beliau ‘goyang’ dalam berdepan pelbagai kritikan.
Beliau mengambarkan pendirian tegas itu semasa berucap di majlis himpunan bulanan bersama warga Jabatan Pertana Menteri semalam,Isnin dan hari Selasa di perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan.
Ekoran penyasaran itu harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter yakni kenaikan RM1.20 berbanding harga sebelum ini.
Antara kebimbangan yang disuarakan dalam kritikan khususnya di media sosial ialah kenaikan harga barangan ekoran kenaikan harga diesel.
Kata kata popular yang pernah beliau cakap berulang ulang masa kempen pilihanraya di masa lampau ‘hari ini menang, esok minyak turun’ dijadikan rencah utama panaskan kritikan.
Anwar menegaskan sekalipun ‘dimaki hamun berbakul-bakul’ oleh rakyat kerana melaksanakan langkah tidak popular itu, namun tetap berpegang ianya perlu untuk memperbetulkan sistem lapuk oleh pemerintah terdahulu.
“Subsidi kita tertinggi di Asia, tiada siapa nak ambil tindakan (sebelum ini) sebab ia tak popular… cakap macam mana pun, anda nak tahu popular ke tak anda pergi ke Sungai Bakap, saya kena maki berbakul-bakul.
“Saya pun dah lewat 70-an, apa saya nak buat? Saya nak buat terbaik untuk negara… saya nak buktikan tidak semua orang politik itu kaki sakau dan angkuh dan mendera rakyat.
“Jadi saya tak kisah kalau mereka nak maki saya berbakul-bakul… (sebab) saya ada mandat dan saya akan lakukannya, bila masa saya kena pergi, saya pergi tetapi sementara saya di sini, saya akan buat apa yang terbaik untuk pastikan imej Malaysia sebagai negara terbaik di Asia,” katanya.
Anwar memberitahu penjimatan RM4 bilion daripada penyasaran semula subsidi diesel bukan untuk menaikkan elaun menteri, tetapi menampung kos pengangkutan awam serta sumbangan tunai rahmah (STR) yang kini mencecah RM10 bilion.
Menurutnya sumbangan tunai itu kini memanfaatkan sembilan juta penerima termasuk bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang dinaikkan dari RM600 kepada RM1,200 setahun.
“Wang itu bukan untuk naikkan elaun menteri atau kepentingan lain… kita kena faham pertama penyelarasan subsidi itu untuk pastikan subsidi tidak diberikan kepada golongan maha kaya atau warga asing.
“(Penjimatan subsidi) diesel sebahagiannya adalah untuk menampung keperluan pengangkutan awam, pengangkutan rakyat… sebahagian lagi untuk tambah suntikan tunai rahmah yang kini dan mencecah RM10 bilion,” katanya yang juga menteri kewangan.
Dalam pada itu Perdana Menteri menempelak pihak yang berterusan menyindirnya dengan ayat ‘hari ini menang, esok minyak turun’ kerana ia diucapkan beliau mengikut harga minyak pada 2008 dan tidak sepatutnya diguna pakai dengan senario semasa 2024.
Beliau mengingatkan ketika itu harga minyak negara tinggi berbanding negara-negara pengeluar minyak lain khususnya Arab Saudi.
“Saudi (Arab Saudi) sekitar 50 sen (pada 2008) dan kita (Malaysia) RM1.80. Sekarang kita RM2.05 (seliter) dan Arab Saudi, 2.95. Pengeluar minyak yang murah ini hanya di Brunei, (tetapi) kos sudah bertambah.
“Jadi bagaimana boleh kata nak relate (kaitkan) kos pada 2008 kepada 2024? Ini asas ekonomi. Itu (hari ini menang, esok minyak turun) sahaja yang diulang-ulang. Itu saya sebut pada 2008,” katanya.
Anwar berkata, penyelarasan subsidi diesel adalah langkah ketiga dilaksanakan kerajaan bagi menstruktur semula agihan subsidi negara, selepas tarif elektrik dengan penjimatan RM4.5 bilion dan pengapungan harga ayam dan telur, RM1.2 bilion. – 11/6/2024
Penyasaran subsidi diesel…apapun lakukan kita akan dihentam habis-habisan – PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata penyasaran subsidi harga diesel satu tindakan perlu diambil walaupun kerajaan sedar ia merupakan langkah yang tidak popular.
Katanya langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah perlu untuk menyelamatkan negara.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Isnin, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Menurutnya semua perdana menteri sebelum itu telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan.
“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu juga apapun kita lakukan kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.
“Padahal kita beritahu penyasaran subsidi ini semua perdana menteri sebelum itu telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan kerana risikonya ada, tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.
Semalam kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.
Beliau berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.- 10/6/2024