Wednesday - 16, July 2025

Kes wakil rakyat Bersatu yang paling tadah…Kelantan ambil langkah pertama umum kerusi DUN kosong…

Share

Perhatian kini bertumpu kepada Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setelah Speaker DUN Kelantan umum kerusi DUN Nenggiri kosong bermula hari ini.

Keputusan itu melibatkan kerusi DUN yang diwakili oleh Mohd Azizi Abu Naim yang juga Ahli Parlimen Gua Musang yang digugur keahlian parti Bersatu kerana umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan dibuat oleh Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya ia selaras dengan Undang Undang Tubuh negeri Kelantan setelah ia menerima notis dari parti Bersatu pada 12 Jun berhubung kedudukan keahlian Mohd Azizi.

“Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi.

“Menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan,” katanya.

Ini bermakna pilihanraya kecil perlu diadakan di kawasan DUN berkenaan.

Mohd Azizi ialah salah seorang dari tujuh wakil rakyat Perikatan Nasional dari parti Bersatu yang berpaling tadah sokong kerajaan.

Enam yang lain ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang,Selangor Datuk Abdul Rashid Asari.

Pada pilihanraya DUN Nenggiri Ogos tahun lalu Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.

Mohd Azizi yang bertanding atas tiket PAS dapat 6,517 undi manakala Ab Aziz 5,707

Pada pilihanraya umum November 2022 Mohd Azizi kalahkan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah cuma dengan 163 undi majoriti.

Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.

Tandatanya kini timbul apakah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Selangor Lau Weng San akan ikut jejak Speaker DUN Kelantan.

Jika mereka ikut jejak Kelantan ini bermakna akan berlaku pilihanraya kecil di enam kawasan parlimen dan satu kawasan DUN di Selangor.

Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Tertingi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dalam ulasan beliau kata Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul tidak mempunyai pilihan selain mengisytiharkan kekosongan enam kerusi parlimen selepas Bersatu menggugurkan keahlian ahli parlimen berkenaan.

Katanya perlu ada sedikit keseragaman dalam pelaksanaan peraturan-peraturan DUN dan Dewan Rakyat setelah melihat apa yang berlaku di Kelantan.

Katanya, berdasarkan peraturan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan, kerusi yang disandang kosong apabila seseorang wakil rakyat digugurkan keahlian mereka daripada parti.

Sementara itu dalam reaksinya pada keputusan Speaker DUN Kelantan…Mohd Azizi mengakui tidak terkejut.

Katanya perkara itu sudah dijangka selepas mengetahui Speaker DUN Kelantan, mengadakan sidang media tergempar pagi tadi.

“Perkara itu tidak mengejutkan sebab saya dah tahu… kerajaan negeri berbeza dengan kerajaan Persekutuan. Kita pun faham konsep kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu memandangkan berhasrat untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Buat masa sekarang saya tak nak komen secara terperinci lagi, sebab kita baru dapat maklumat pagi tadi berkenaan kenyataan dikeluarkan Speaker DUN Kelantan ini.

“Saya baru hubungi peguam saya, jadi kami nak bincang esok berkenaan perkara itu. Memang saya berhasrat untuk memohon perintah mahkamah untuk failkan injunksi,” katanya.- 19/6/2024

Read more

khabar terbaru