
Anwar dan PM China di majlis projek ECRL
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Bersama rakan sejawatnya dari China Li Qiang telah merasmikan majlis pecah tanah stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Terminal Bersepadu Gombak pada petang Rabu.
Li Qiang adalah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Anwar menerusi posting di facebooknya kata Kerajaan Perpaduan yakin ECRL bakal memanfaatkan rakyat menerusi limpahan ekonomi terhadap kawasan setempat, selain meningkatkan penyertaan pembekal serta kontraktor tempatan dan Bumiputera dalam projek ini.
“Saya percaya Projek ECRL yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM50 bilion dan merangkumi jajaran penting merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor akan memacu pertumbuhan ekonomi, seterusnya memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung.
“Sekalung penghargaan buat segenap tenaga kerja yang terlibat dalam pembinaan projek ECRL yang kerana bukan sahaja memastikan kemajuannya mengikut jadual, malah berpotensi siap lebih awal dari yang dirancang.
“Kerajaan Malaysia juga menghargai hubungan baik dan kerjasama yang terjalin antara MRL dan CCCC dalam membangunkan infrastruktur nasional ini, dan diharapkan ia dapat dipertingkatkan dalam fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) apabila ECRL mula operasi kelak pada 2027.” katanya. – 19/6/2024