Pemuda Umno desak penjualan saham MAHB kepada Blackrock dihentikan serta merta

Pemuda Umno mendesak kerajaan menghentikan serta-merta penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) atas nama solidariti bersama rakyat Palestin.
Pergerakan itu menilai penjualan sebanyak 30% saham MAHB itu amat bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini yang mendokong perjuangan Palestin.
Pendirian ini ditegaskan oleh Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur,Jumaat.
“Kita mahu solidariti kita ini bukan hanya berada peringkat antarabangsa. Ia harus dibuktikan dalam negara kita sendiri,” katanya.
Dr Akmal kata penjualan secara langsung itu akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat serta mempunyai simpati kepada agenda Zionis.
“Jadi pada hari ini, Pemuda Umno ingin sekeras-kerasnya memohon dan juga mendapatkan perhatian kerajaan supaya penjualan saham ini kepada syarikat yang dimiliki BlackRock ini boleh dihentikan serta-merta.
“Hakikatnya hari ini GIP adalah milik BlackRock yang kita tahu secara terang-terangan menyokong kegiatan genosid di bumi Palestin,” katanya.
Dr Akmal juga persoal kenyataan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim bahawa ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan memutuskan hubungan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.
“Kita ada banyak lagi syarikat di luar sana yang ada kepakaran, yang boleh MAHB minta bantuan.
“Saya tak rasa bahawa kalau tiada Blackrock ini, MAHB akan hilang, akan bankrap,” katanya.-21/6/2024