FOKUS

Jangan jadikan isu syarikat ada kaitan dengan Israel untuk tunjuk siapa lebih ‘pahlawan’…

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak bersikap realistik dan tidak main ‘pukul borong’ dalam isu memutuskan hubungan dengan syarikat yang ada kaitan dengan Israel.

Beliau juga berharap jangan jadikan isu itu untuk tunjuk siapa lebih ‘pahlawan’.

Serentak dengan itu beliau mengingatkan ekonomi Malaysia akan terjejas jika putuskan hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel.

Katanya di sebalik tindakan memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel di negara itu, ekonomi Malaysia akan terjejas jika perkara sama dilakukan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

“Baik, bagaimana syarikat (asing) yang ada operasi (ibu pejabat) di Amerika Syarikat (AS), Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel,

“Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan (hubungan itu) kerana ini akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian kepada para wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, di Petaling Jaya.

Beliau mengulas bidasan terhadap penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma yang bakal diambil alih oleh Blackrock yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang didakwa membiayai pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Menurut Anwar, rundingan dilakukan dahulu bersama Global Infrastructure Partners (GIP) sebelum syarikat itu diambil alih BlackRock pada tahun lalu.

“Ada operasi ataupun syarikat yang ada kepentingan dengan BlackRock, operasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, di seluruh negara dan di pasaran saham.

“Jadi saya sementara akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara.

“Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas (tak benarkan operasi di Malaysia). Itu yang saya nak jelaskan,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau terbuka dengan kritikan pembangkang berhubung isu syarikat asing itu, namun pada masa sama mereka harus bersama kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap konflik di Gaza.

Anwar turut meminta supaya isu BlackRock tidak dijadikan sebagai wayang politik oleh pihak tertentu bagi menghasut rakyat.

Anwar berkata, Khazanah Nasional Bhd ada membuat kenyataan lengkap berkait BlackRock dan beliau memahami ada yang kurang bersetuju.

“Ada yang kurang bersetuju tidak apa, ada hak untuk tak bersetuju, tapi jangan jadikan ini wayang politik untuk menghasut.

“Boleh tegur dan kritik saya, tiada masalah tapi jangan nak tunjuk siapa lebih pahlawan.

“Padahal siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini (Malaysia) dulu?

“Kapal mana yang dibenarkan masuk oleh mantan PM pada 2002, diteruskan oleh semua kerajaan, semua pemimpin, termasuk mantan mantan menteri yang dok bising sekarang?” soalnya.

Sebaliknya, Anwar berkata, beliau yang membuat keputusan membatalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang beroperasi dari negara itu.

“Di PRK(Pilihan Raya Kecil) Sungai Bakap bolehlah lawan, tetapi dalam soal Gaza ini, umat Islam di Malaysia bersatulah.

“Orang mati. Sakit dan kita cari jalan untuk menyelamatkan. Kalau nak apa yang disebut skor political point ini bukan tempatnya,” katanya.- 21/6/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button