FOKUS

Isu Blackrock : Anwar pertahan jualan saham MAHB di sidang Dewan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan isu penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) di sidang Dewan Rakyat pagi Selasa.

Beliau juga mengingatkan langkah ini tidak boleh diistilahkan sebagai ‘penjualan’ kerana urusan itu cuma melibatkan soal pengurusan sahaja.

MAHB kekal milik Malaysia dan jawatan pengurusan utama iaitu Pengerusi MAHB dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.

Beliau beri contoh mengenai lapangan terbang di Istanbul yang diurus oleh MAHB tetapi masih kekal milik Turki.

Anwar menyatakan demikian pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri untuk menjawab soalan itu diajukan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar)

Mohd Shahar meminta Perdana Menteri beri penjelasan terhadap keputusan kerajaan dalam penjualan saham MAHB itu.

Isu penjualan saham MAHB ini hangat dipersoalkan oleh beberapa pihak kerana ia dikaitkan sebagai syarikat yang pro Israel.

Perdana Menteri berkata dakwaan kononnya MAHB akan menjadi milik pihak asing sama sekali tidak berbangkit.

Beliau memberitahu sebaliknya pegangan saham majoriti MAHB dikuasai Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat dari 40 peratus sebelumnya ke 70 peratus.

Beliau juga menjelaskan keputusan pelaburan dibuat Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) bukanlah satu urusan kerajaan dan tidak pernah dirujuk kepada Kabinet.

Menurutnya bukan baharu kerana amalan sama dalam keputusan pelaburan dibuat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan turut dibuat pentadbiran terdahulu.

“Semua pelaburan PNB, KWSP, Khazanah itu bukan urusan Kabinet. Saya lihat juga minit mesyuarat Kabinet (pentadbiran) sebelumnya, keputusan pelaburan Khazanah, PNB dan KWSP tidak dirujuk Kabinet, termasuk semasa rakan-rakan sebelah sana (pembangkang) menjadi Jemaah Menteri.

“Tetapi dalam kes ini (pegangan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP), saya ada maklumkan Kabinet.. ini yang berlaku, (hanya) sebagai makluman saja.

“Ada ahli Kabinet bangkitkan (mereka tak tahu mengenai pelaburan) itu betul. Saya maklumkan setelah keputusan dibuat,” katanya.

Anwar juga menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan pemilihan Blackrock yang dikaitkan sebagai syarikat pro-Israel.

Beliau juga menegaskan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock dibuat selepas melalui syarat ketat, dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat yang berminat.

Perdana Menteri berkata daripada 145 syarikat itu, lima syarikat akhirnya disenarai layak termasuk BlackRock, dengan antara isu yang timbul di peringkat rundingan adalah kebanyakan syarikat berkenaan mahu diberikan hak mengurus sepenuhnya.

“Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 (syarikat) yang berminat, akhirnya lima yang layak.

“Namun syarikat yang berminat ini, baik Singapura atau lain-lain, mereka nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyat dia atau mereka yang tentukan. Syarat ini tak diterima. Itu sebabnya mengapa GIP diambil,” katanya.

Perdana Menteri berkata perbezaan mesti dibuat antara syarikat berkaitan Israel dan syarikat berpangkalan di Israel.

Mungkin terdengar baik untuk membatalkan semua perjanjian dengan syarikat berkaitan Israel seperti Apple dan Microsoft tetapi ia tidak realistik, katanya.

“Kalau syarikat ada kepentingan Israel, keputusan kita syarikat Isarel. syarikat Apple, Microsoft, Nvidia, semua ada kepentingan Israel. Apakah kita batalkan?

“Bunyi sedap lah bagi orang dengar seronok, kita ini hebat, pejuang. Tapi sebenarnya tidak realistik,” katanya.-25/6/2024

-25/6/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button