2 lagi ditahan terlibat kes rasuah projek lebuh raya di Lembah Klang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu iaitu dua pengarah syarikat subkontraktor kerana dipercayai terlibat rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.
Sumber SPRM memaklumkan pengarah lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan antara 5 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Beliau berkata mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam dan perintah tahanan reman selama lima hari hingga 7 Julai ini telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Kedua-dua suspek merupakan pengarah dari syarikat yang sama disyaki memberi rasuah kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009.
Semalam, Bernama melaporkan SPRM menahan reman dua lagi individu iaitu pengerusi sebuah syarikat dan pengarah syarikat subkontraktor bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek itu.
Setakat semalam, SPRM telah menahan reman seramai 14 individu berhubung kes itu. – BERNAMA – 4/6/2024
TERKINI….Rasuah RM1.6 bilion: SPRM cekup ketua penolong pengarah badan berkanun
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi individu iaitu ketua penolong pengarah sebuah badan berkanun, selepas dipercayai terlibat dalam kes rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion, membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
Sumber SPRM berkata lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada 10 malam, semalam selepas hadir memberi keterangan.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah lebih RM146,000 (wang diterima suspek) daripada satu syarikat sebagai balasan bagi mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya,” katanya.
Menurut sumber, suspek ke-10 itu direman empat hari sehingga 1 Julai ini selepas pihaknya mendapat perintah reman yang dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Penahanan suspek itu susulan tangkapan sembilan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini berhubung kes yang sama.
Sementara itu, sumber berkata Majistret Nazira Adlin turut membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung reman empat suspek termasuk CEO syarikat konsesi lebuh raya yang ditahan Isnin lepas, bermula esok sehingga 2 Julai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan seorang lagi suspek berkenaan, serta penyambungan reman terhadap keempat-empat suspek dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
- Bernama-28/6/2024
KEMASKINI : Kes rasuah lebih RM1.6 bilion projek lebuhraya…seorang lagi ditahan…jadi sembilan
Seorang lagi ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah melibatkan kerja-kerja menyiapkan pakej projek pembinaan lebuh raya bernilai RM1.6 bilion di Lembah Klang.
Ini menjadikan jumlah ditahan dalam kes itu setakat ini Sembilan orang.
Penahanan suspek adalah susulan tangkapan terhadap lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.
Suspek kesembilan ini telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kira-kira 7 malam tadi.
Sumber SPRM memaklumkan lelaki berusia lingkungan 40-an itu direman tiga hari selepas pihaknya mendapat perintah reman yang dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi. – 26/6/2024
CEO syarikat konsesi lebuh raya antara 8 ditahan SPRM kes rasuah RM1.6 bilion
SPRM menahan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya bergelar Datuk, disyaki terlibat rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion.
Sumber berkata kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 40-an hingga 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
“Tiga daripada suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM1 bilion daripada lima pemilik syarikat, sebagai balasan mendapatkan kontrak mengambil alih kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan sebuah syarikat lain.
“Selain itu, mereka juga dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang yang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek ialah RM 11 bilion,” katanya.
Menurut sumber, CEO itu bersama dua pengurusan tertinggi syarikat berkenaan direman selama empat hari sehingga 28 Jun, manakala lima pemilik syarikat pula direman selama tiga hari sehingga 27 Jun ini mengikut permohonan SPRM.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
-Bernama-25/6/2024