FOKUS

Parlimen Gua Musang…apa cerita Ku Li dicelah angan angan Mohd Azizi nak tanding pilihanraya kecil

Apakah Mohd Azizi Abu Naim sudah pandang kiri kanan sebelum isytihar beliau sangat berhajat hendak pertahankan kerusi parlimen Kawasan Gua Musang jika Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul buat keputusan mengosongkan kerusi yang disandangnya.

Beliau yang menang kerusi parlimen itu pada pilihanraya umum ke 15 menewaskan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dengan cuma 163 undi telah buat kenyataan yang agak pelik bunyinya dan bernada merayu dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam,Isnin.

Mohd Azizi kata beliau akan cuba meyakinkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bahawa beliau calon paling layak bertanding untuk pertahan kerusi Parlimen Gua Musang jika pilihanraya kecil diadakan.

Beliau memberi pelbagai alasan termasuk berjaya menang kerusi itu di luar jangkaan semua orang serta sudah buat kerja intensif di Kawasan Gua Musang untuk tujuan itu sejak tahun 2020 lagi.

“Saya bekerja sejak 2020, ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, kenapa saya nak biarkan kerusi itu kepada orang lain jika berlaku pilihan raya. Insya-Allah saya akan guna alasan ini untuk saya jumpa pimpinan PH-BN untuk memberi peluang saya bertanding pada pilihan raya nanti,” katanya.

Mohd Azizi ialah seorang dari enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari parti Bersatu yang sudah digugurkan keahlian kerana berpaling tadah sokong kerajaan.Mereka semua sedang tunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat samaada kerusi parlimen mereka kosong atau tidak.

Kerusi parlimen Gua Musang sejak dulu kala lagi ialah kerusi yang ditandingi oleh Umno.

Nama Tengku Razaleigh, 87, sudah sinonim dengan Gua Musang.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Beliau bertanding dan menang kerusi parlimen Gua Musang yang dulu dikenali sebagai Ulu Kelantan sejak 1974.

Pada PRU 15 Mohd Azizi yang wakili PN menang setelah dapat 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili Barisan Nasional (BN), mendapat 21,663 undi.

Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.

Tengku Razaleigh menerusi wakilnya telah mengemukakan petisyen setelah tewas tipis pada Mohd Azizi masa PRU ke 15 cuma dengan 163 undi.

Bagaimanapun petisyen itu ditolak mahkamah.

Jangan lupa pada pemilihan Umno Mac 2023 Tengku Razaleigh telah mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang yang disandangnya sejak 1962.

Kalangan pemerhati politik menilai beliau adalah seorang ‘fighter’.

Ini mengenangkan sejarah politiknya termasuk pernah bertanding lawan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden Umno pada tahun 1987

Soalan yang terbesar sekarang selepas tewas dengan cuma 163 undi pada pilihanraya umum November 2022 dan kemudian kemuka petisyen terhadap keputusan itu apakah Tengku Razaleigh akan ‘lepas’ bekas kerusi parlimen yang lama disandangnya begitu sahaja.

Sehingga ke hari ini belum dengar sebarang kenyataan rasmi bahawa Tengku Razaleigh akan bersara dari politik.

Makanya Mohd Azizi perlu halakan teropong untuk pantau gerak geri Tengku Razaleigh dulu sebelum pasang angan angan untuk jadi ‘wakil’ PH-BN jika pilihanraya kecil diadakan di parlimen Gua Musang.- 2/6/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button