FOKUS

Dua ADUN Bersatu yang digugur keahlian parti ‘masih melawan’…

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu yang digugur keahlian – Mohd Azizi Abu Naim ADUN Nenggiri,Kelantan dan Datuk Rashid Asari ADUN Selat Klang, Selangor masih tidak mahu mengaku kalah pada tindakan parti itu yang akibatkan kerusi DUN mereka kosong dan pilihanraya kecil diadakan.

Mohd Azizi Abu Naim telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas digugurkan sebagai ahli Bersatu dan diarah mengosongkan kerusi itu.

Rashid pula menegaskan beliau tetap akan hadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula 4 Julai ini, biarpun Bersatu sudah menghantar notis kekosongan luar jangka kerusi itu kepada Speaker.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen PN Gua Musang,Kelantan dakwa bahawa pemecatannya daripada Bersatu adalah tidak sah, dan pengisytiharan speaker Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 18 Jun bahawa kerusi Nenggiri kosong adalah terbatal dan juga tidak sah.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhubung kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri akan adakan mesyuarat pada 28 Jun untuk tetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pilihanraya kecil Kawasan itu.

Selain isu kerusi DUN,Mohd Azizi juga adalah salah seorang dari enam Ahli Parlimen PN dari Bersatu yang paling tadah sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Azizi, mereka yang lain turut dipecat itu adalah ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Kedudukan mereka di Dewan Rakyat akan diputuskan oleh Speaker Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh 21 hari dari hari Isnin lalu bila sidang dewan itu kali ini bermula.

Mohd Azizi dalam samannya namakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.

Dalam hujahnya beliau mendakwa pindaan perlembagaan Bersatu yang menyebabkan keahlian seseorang terhenti sekiranya menyokong parti lawan adalah tidak mengikut Perlembagaaan.

Beliau juga mahu mahkamah membatalkan pindaan itu atas alasan ia menyalahi Perlembagaan.

Selain itu, Mohd Azizi juga menuntut mahkamah mengisytiharkan notis pengosongan kerusi Nenggiri itu tidak sah dan terbatal susulan tidak diberi hak untuk membela diri sebelum pengumuman dibuat.

Dalam afidavit yang difailkan bersama samannya itu, Mohd Azizi mendakwa dipinggirkan kerajaan negeri Kelantan.

Mahkamah menetapkan 9 Julai untuk pengurusan kes.

Rashid yang turut digugurkan keahlian sebagai ahli parti Bersatu kerana umum sokong Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shaari adakan pertemuan dengan Speaker DUN Selangor Lau Weng San di pejabatnya di Shah Alam pada Rabu.

Bercakap kepada wartawan selepas itu Rashid menegaskan beliau akan tetap hadir seperti biasa ke persidangan DUN Selangor Ke 15 minggu depan kerana belum ada keputusan berkait notis pengosongan kerusi itu.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu juga berkata Weng San dijangka membuat keputusan berhubung status beliau dalam tempoh persidangan berkenaan.

“Ketika ini saya akan teruskan tugas saya sebagai ADUN dan masih lagi menganggap diri sebagai ahli Bersatu kerana notis yang diberikan kepada saya tidak berkesan atau efektif kerana notis yang diberi di bawah Fasal 10(4) dan 10(5) di bawah Perlembagaan BERSATU hanya berkuatkuasa pada 1 April 2024.

“Pada saya, dari segi undang-undang, Bersatu tidak boleh menggunakan pindaan itu untuk mengambil tindakan terhadap saya kerana ia tidak boleh digunapakai kerana tindakan saya menyokong kerajaan negeri adalah sebelum pindaan dibuat.

“Pada 4 Julai nanti, saya akan hadir di sidang DUN seperti biasa, seperti kata Speaker ‘business as usual’. Jadi, tidak akan dipindahkan kerusi saya, saya akan duduk di tempat yang sedia ada. Pada masa ini, itulah keputusan yang dibuat oleh Speaker,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan bersama Weng San katanya, mereka mengadakan perbincangan mengenai kedudukannya sebagai ADUN Selat Klang sama ada kerusi Selat Klang akan diksongkan ataupun tidak.

“Dalam perbincangan itu, (Speaker maklum sedang) meneliti mengenai keterangan, fakta dan bukti-bukti yang ada, Speaker juga belum membuat apa-apa keputusan dan masih lagi memerlukan fakta-fakta dan akan menulis surat kepada saya untuk tujuan itu.

“Insya-Allah, apabila saya menerima surat Speaker, saya akan jawab, selepas itu beliau akan membuat keputusan muktamad sama ada perlu atau tidak kerusi DUN Selat Klang dikosongkan kerana tugas beliau adalah memberi keputusan muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

“Sekiranya ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan Speaker, mereka boleh membawanya ke mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau juga tidak mengetahui bila keputusan dibuat dan ia bergantung kepada Speaker.

“Terpulang kepada Speaker (tempoh) sebab beliau akan hantar surat kepada saya dan saya akan menjawab surat itu, sama ada beliau akan membuat keputusan dalam tempoh 21 hari ataupun tidak, itu terpulang kepada kebijaksanaan Speaker.

“Saya pasti mengenai perkara itu (rujuk ke kamar Penasihat Undang-Undang Negeri), tetapi saya difahamkan beliau sudah pun berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat dan juga Menteri Undang-Undang, tetapi perkara itu di luar pengetahuan saya,” katanya.

Beliau turut mengulas ketika ditanya mengenai keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selat Klang.

“Kalau tanya saya sekarang, sebenarnya tidak perlu diadakan PRK. Saya sudah memberikan penjelasan kepada penduduk/pengundi di kawasan, mereka faham dengan keadaan saya dan mereka ada yang menyokong.

“Ada juga orang-orang PAS yang mengatakan saya patut sokong kerajaan atas sebab-sebab (pernah dinyatakan sebelum ini).

“Jadi, pada saya keadaan di Selat Klang adalah seperti biasa dan tidak perlu ada PRK kerana bukan saja membabitkan perbelanjaan yang besar dan sebagainya, tetapi tidak perlu dari segi keadaan politik semasa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau menyifatkan kes beliau tidak sama dengan kes di Kelantan, kerana seperti umum sedia maklum, Speaker DUN Kelantan membuat keputusan tanpa memberi peluang kepada ADUN berjumpa dan berbincang dengannya.- 26/6/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button