Ini dia jumlah besar pelaburan BlackRock di Malaysia…

Sidang Dewan Rakyat pada Khamis diberitahu firma pelaburan global, BlackRock telah berada di Malaysia pada tahun 1990-an dan setakat Mei 2024, sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di negara ini merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institut perbankan.
Secara keseluruhan Blackrock memiliki aset bernilai RM27.5 bilion di Malaysia, RM20.5 bilion di Bursa dan RM7 bilion di dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.
Butir ini dibentang oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah pelaburan BlackRock dan syarikat berkaitannya di Malaysia.
Katanya beberapa syarikat pemilikan saham firma pelaburan global tersebut turut menyumbang kepada pertumbuhan subsektor semikonduktor di beberapa negeri.
Antaranya Intel menyumbang kepada pertumbuhan subsektor di Pulau Pinang, Infineon di Melaka dan Kedah, Texas Instruments dalam industri elektrikal dan elektronik di Melaka serta Kuala Lumpur serta subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM) dalam industri aeroangkasa di Kedah.
Dari segi nilai eksport pula, Tengku Zafrul menjelaskan, syarikat-syarikat dengan pegangan saham BlackRock memberi sumbangan besar kepada pendapatan eksport negara.
“Intel telah menyumbang RM50 bilion nilai eksport untuk komponen semikonduktor; Texas Instruments eksport komponen elektronik (RM20 bilion); Microsoft eksport perkhidmatan teknologi maklumat (RM15 bilion) dan Boeing eksport komponen aeroangkasa (RM10 bilion),” tambahnya.
Sekalipun selama ini mempunyai pelaburan yang besar di Malaysia,menteri itu menegaskan syarikat Amerika Syarikat itu tidak mempengaruhi dasar negara.
Tengku Zafrul berkata penguguran pelaburan BlackRock daripada Malaysia dijangka akan mendatangkan kesan negatif kepada usaha merealisasikan agenda pelaburan negara.
Namun, katanya ia tidak menjejaskan perdagangan Malaysia dengan negara-negara lain, sekiranya kerajaan mengambil pendirian untuk tidak membenarkan pelaburan dengan syarikat tersebut.
“Isu itu tak berbangkit kerana tidak ada polisi atau dasar yang kita menghalang syarikat-syarikat seperti BlackRock, Vanguard atau mana-mana syarikat lain yang ada kepentingan dalam syarikat-syarikat global ini atau pun kepentingan dalam syarikat-syarikat yang tersenarai.
“Kita tak ada penglibatan atau polisi yang menghalangi mereka buat masa ini,” katanya menjawab soalan tambahan Lim mengenai kesan perdagangan kepada negara lain, jika Malaysia tidak membenarkan BlackRock melabur di negara.ini.-27/6/2024