Sekalipun pilihanraya umum ke 16 masih jauh lagi namun Datuk Seri Zahid Hamidi sudah buka cerita Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang terjalin menerusi kerajaan perpaduan sekarang akan jalan terus Ketika menghadapi pilihanraya umum itu nanti.
Namun Pengerusi BN dan Presiden Umno itu berkata kedua pihak akan bertanding guna lambang masing masing.
Keduanya juga akan bertanding di kawasan masing masing dan tidak bertindih.
“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang Barisan Nasional. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.
“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi oleh mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, pada Ahad.
Kerjasama BN-PH terjalin selepas PRU ke 15 yang lalu hingga terbentuk kerajaan perpaduan.
Kedua-dua gabungan itu bekerjasama pada enam pilihan raya negeri Ogos tahun lalu.
Pada pilihanraya itu BN menunjukkan prestasi buruk di kebanyakan kerusi kecuali di Negeri Sembilan.
BN juga mencatatkan kekalahan teruk di Kedah dan Terengganu.
Kedua-dua gabungan itu juga bekerjasama pada beberapa pilihan raya kecil, termasuk pilihan raya kecil Sungai Bakap yang diadakan sekarang.- 30/6/2024