Majlis Profesor Negara jawab dakwaan Laporan Ketua Audit Negara pasal salahguna dana kerajaan

Majlis Profesor Negara (MPN) telah bertindak segera menjawab dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang antara lain dakwa ia telah salahguna dana daripada kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2023.
Sambil menafikan dakwaan itu ,MPN menjelaskan kerajaan telah membuat keputusan membubarkan organisasi ini secara serta-merta berkuatkuasa pada 23 Mei 2018 lalu.
“Mulai tarikh pembubaran itu MPN tiada lagi menerima saluran dana kerajaan dan beroperasi dengan sumbangan dan pembiayaan sendiri serta bergerak sebagai sebuah entiti bebas.
“Di sepanjang tempoh itu pihak MPN telah mengambil inisiatif-inisiatif tertentu untuk menentukan kelangsungannya di samping membuat pindaan terhadap perlembagaannya selaras dengan kedudukan dan statusnya itu,” katanya.
Tambah kenyataan itu, MPN diterima semula beroperasi di bawah naungan kerajaan dan menerima dana tahunan mulai Januari 2022.
LKAN yang dibentang di Dewan Rakyat Khamis menumpukan audit untuk aktiviti dari 2019 hingga 2023 mendapati MPN telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.
LKAN kata kerajaan memberikan geran kepada MPN berjumlah RM7.78 juta untuk 2022 dan 2023.
Dalam dapatan audit salah satu isu yang dibangkitkan ialah RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah badan tersebut.
MPN – dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit Negara yang dimasukkan pada LKAN kali ini – berkata kedua-dua syarikat terbabit ditubuhkan untuk membantu menjana pendapatan MPN selepas ia dibubarkan kerajaan pada 2018.
Untuk rekod, isu yang dibangkitkan oleh jabatan audit kali ini ialah konflik kepentingan ekoran penglibatan dua ahli lembaga pengarah MPN – setiausaha agung yang juga Presiden MPN merangkap ketua pegawai eksekutifnya (CEO), dan bekas timbalan setiausaha agung – tidak mendedahkan pemilikan mereka dalam kedua-dua syarikat berkenaan.
Laporan itu tidak menamakan mana-mana individu, tetapi Presiden MPN sejak 2019 ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Raduan Che Rose.
Identiti bekas timbalan setiausaha agung itu pula tidak dapat dipastikan.
Satu lagi isu utama yang disentuh dalam LKAN ialah MPN membayar elaun berjumlah RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap tanpa kelulusan menteri.
Bayaran masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM4,000 sebulan yang dibuat dari Mac 2022 hingga Jan lalu iaitu ketika MPN kembali mendapat pembiayaan daripada kerajaan.
Menurut laman sesawang MPN, pengerusi mereka sejak 2019 ialah Shamsul Amri Baharuddin manakala Mohamed Mustafa Ishak menjadi timbalan pengerusi.
Turut mendapat perhatian ketua audit negara ialah kenaikan gaji untuk pengurusan tertinggi MPN – termasuk presiden merangkap CEO – pada 2022 dan 2023.
Jumlah elaun itu pula didapati melebihi garis panduan yang sedia ada pada MPN, selain ia tidak diluluskan oleh lembaga pemegang amanah badan berkenaan.
Menurut LKAN, kerajaan memberikan geran kepada MPN berjumlah RM7.78 juta untuk 2022 dan 2023.- 4/6/2024