TAHUKAH ANDA

Kemenangan PN di Sungai Bakap adalah mesej tidak puashati rakyat

Pas menilai kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah mesej dari rakyat tidak setuju dengan beberapa pendekatan dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan sejak akhir-akhir ini.

Dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada kemenangan calon PN Abidin Ismail pada PRK itu,Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari merujuk kepada penyasaran subsidi diesel.

Beliau menegaskan kemenangan calon PN adalah isyarat jelas penolakan rakyat terhadap penyasaran subsisi diesel.

Katanya sekalipun DUN Sungai Bakap berada di dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang diwakili oleh seorang menteri penuh, ternyata ia masih gagal untuk memikat pengundi memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).

PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menewaskan calon PH Joohari Ariffin dengan majoriti lebih besar yakni 4,267 undi.

Pada pilihanraya negeri Ogos tahun lalu calon PN Allahyarham Nor Zamri Latif menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Ahmad Fadhli juga menyifatkan Sungai Bakap merupakan satu kemenangan rakyat.

Beliau berkata rakyat menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga kerajaan campuran di peringkat Persekutuan.

“Isyarat juga kepada kerajaan Pulau Pinang agar lebih bertindak adil dalam isu agihan projek dan kemudahan infrastruktur,” katanya.

Jelasnya, ungkapan maaf sahaja atas kegagalan menyediakan perkhidmatan air bersih tidak cukup untuk rakyat Sungai Bakap, mereka mahukan jaminan dan tindakan segera.

“Sewajarnya tiada lagi masalah memandangkan kerajaan negeri dan Pusat ialah dari aliran politik yang sama,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengucapkan tahniah kepada jentera dan Pengarah PRK yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

“Tidak lupa Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor dan pimpinan parti-parti komponen terutama Bersatu dan Gerakan yang tidak putus-putus menghantar jentera membantu,”katanya.- 6/7/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button