FOKUS

Saya terima suara rakyat di Sungai Bakap – PM

Gabungan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap ,Pulau Pinang yang telah berlangsung dengan lancar dan aman pada Sabtu,semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaku Perdana Menteri, beliau dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan MADANI.

“Kerajaan MADANI menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara.

Dengan dasar dan komitmen yang jitu, Gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan,”katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.

Semalam, PN mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi apabila menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

Jumlah majoriti itu adalah jauh lebih besar berbanding yang diperolehi PN pada pilihanraya negeri Ogos 2023.

Pada pilihanraya berkenaan calon PN Allahyarham Nor Zamri Latif menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.- 7/7/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button