Ini keputusan Speaker Dewan Rakyat pasal enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu

Satu berita besar yang ditunggu tunggu selama ini sudahpun muncul.
Ini berkaitan kemungkinan pilihanraya kecil di enam Kawasan parlimen yang disandang oleh ahli parti Bersatu yang digugurkan keahlian oleh parti itu kerana berpaling tadah sokong kerajaan.
Jika mengikut perlembagaan parti itu yang dipinda mereka telah ‘langar lampu merah’ dan perlu kosongkan kerusi untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan.
Namun di luar dugaan ramai pihak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang pegang kuasa penentuan buat keputusan mereka kekal sebagai ahli parlimen dan tidak perlu kosongkan kerusi wakil rakyat.
Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Mereka dikenakan tindakan oleh Bersatu kerana telah isytihar sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa keluar parti.
Johari tidak buat pengumuman terbuka pasal keputusan itu tetapi memberitahu parti Bersatu menerusi surat pada petang Selasa.
Hal ini dimaklumkan oleh Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.
“Bersatu telah menerima surat bertarikh 9 Julai, lewat petang semalam daripada Speaker Parlimen yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli Bersatu.
Muhyiddin menegaskan keputusan Speaker itu adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menilai keputusan Speaker dengan memberikan alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara.
Muhyiddin berkata, keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang.
“Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Katanya, peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.
“Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan-peruntukan perlembagaan Bersatu.
“Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif,” katanya.
Menurut Muhyiddin Bersatu memutuskan untuk melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu.- 10/7/2024