Rasa kecewa bergema terhadap keputusan isu 6 ahli parlimen bekas ahli Bersatu…

Ini adalah empat dari lebih seratus komen pembaca dalam posting tokoh veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad di facebooknya yang pertikai keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam bekas ahli parti Bersatu yang berpaling tadah sebagai ahli parlimen.
Keputusan itu melibatkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ahli parlimen Bukit Gantang, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) yang istihar sokong Perdana Menteri tanpa keluar parti.
Kebanyakan komen meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan itu kerana ia tidak selari dengan semangat Akta Anti Lompat Parti.
“Akta lompat parti sepertinya tidak bermakna.. buang masa bincang lama2, tapi tidak ada perlaksanaan.”
“Kalau ada Maruah undi semula biar rakyat yg pilih”
“Aku betul betul PELIK dan HAIRAN dengan keputusan yang telah dibuat…Politik APA yang diaorang dokong sekarang AKU BENAR BENAR TAK FAHAM…”
“Buat undang2 lepas tu langgar… kualiti pemimpin negara kita hari ini..”
Shahrir sendiri sebagai orang lama yang pernah jadi Menteri dan ahli parlimen selama beberapa penggal mendakwa keputusan dibuat bukan kerana prinsip tetapi atas kepentingan sendiri dan kepentingan semasa.
Baginya keputusan ini tidak menjamin kestabilan politik.
Beliau bertanya bagaimana sebaliknya yakni ahli parlimen penyokong kerajaan pula menarik sokongan kepada Perdana Menteri tanpa keluar parti.
Jangan terperanjat apabila keadaan yang sama boleh terkena kepada diri sendiri.
Berikut ialah tulisan penuh beliau dibawah tajuk :
KATAK POLITIK YANG TIDAK MELOMPAT
Apabila keputusan dibuat bukan kerana prinsip tetapi atas kepentingan sendiri dan kepentingan semasa, jangan terperanjat apabila keadaan yang sama boleh terkena kepada diri sendiri.
Tidak ada apa yang sekarang menghalang pertukaran sokongan tanpa meninggalkan parti.
Tak lompat, hanya ‘terkeluar’ dari parti sebab menyokong kepimpinan Ketua Dewan, iaitu PM.
Bagaimana sebaliknya? Iaitu menarik sokongan dari Ketua Dewan tanpa keluar parti sendiri.
Keputusan ini tidak menjamin kestabilan politik.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam komentarnya menerusi facebook mempersoalkan apa guna Akta Lompat Parti jika ia tidak dipraktikkan.
“Keputusan yang sangat mengecewakan dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat terhadap enam (6) Ahli Parlimen yang terhenti keahlian parti politiknya.
“Jelas keputusan ini amat bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kerusi Ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika beliau tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut,”katanya.
Juga apa yang menarik keputusan Speaker Dewan Rakyat turut dipertikaikan oleh ahli parlimen PKR dari Kawasan Pasir Gudang,Johor Hassan Karim yang dikenali vocal terhadap hal yang beliau anggap tidak betul.
Katanya keputusan speaker berlawanan aspirasi rakyat untuk menghentikan amalan lompat parti, mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ menerusi akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sebelum ini.
Beliau berpendapat Johari juga gagal mengambil maklum keputusan mahkamah sebelum ini menolak semakan kehakiman dibuat bekas ADUN Nenggiri,Kelantan (Mohd Azizi Naim) untuk mengetepikan keputusan Speaker DUN Kelantan yang mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas wakil rakyat Bersatu berpaling tadah.
“Amat malang dan sedih kerana keputusan speaker tidak didukung oleh hujah yang mantap. Saya melihat speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” katanya seperti dilapor FMT.
Hassan berkata, Bersatu sudah meminda perlembagaan parti untuk menyelaraskannya dengan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan iaitu Akta Anti Lompat Parti, tetapi speaker tidak menghormati Parlimen yang menjadi tempat ia digubal dan diluluskan.
“Tindakan Johari mengekalkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu berpaling tadah juga bercanggah niat Parlimen yang meminda Perlembagaan demi mewujudkan apa dikenali sebagai akta antilompat parti.- 10/7/2024