Enam Ahli Parlimen bekas Bersatu kini wakil rakyat Bebas

Lima dari enam Ahli Parlimen yang digugur keahlian dari parti Bersatu namun kekal status sebagai wakil rakyat menerusi keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengadakan sidang akhbar bersama
di bangunan Parlimen pada Khamis.
Mereka terdiri dari Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, Zahari Kechik (Jeli) ; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak hadir kerana tidak sihat.
Suhaili yang menjadi jurucakap memberitahu mereka semua tidak akan sertai mana mana parti sebaliknya memutuskan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas.
“Perkara 49A jelas bahawa kami tidak boleh menyertai mana-mana parti kerana ia akan melanggar perkara 49A.
“Apa yang kami perjuangkan sehingga menyebabkan kami menjadi Ahli Parlimen bebas adalah soal peruntukan Ahli Parlimen untuk kami berkhidmat kepada rakyat di kawasan, itu saja,” katanya.
Suhaili berkata, status mereka sebagai Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan Perikatan Nasional (PN).
Justeru, katanya, soal kedudukan mereka di dalam Dewan Rakyat juga tidak berbangkit kerana ia terletak di tangan Johari.
“Status kami Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan oleh PN. Di mana kami duduk Insya-Allah Tan Sri Speaker yang menentukan.
“Ini jelas kami angkat sumpah bukan di depan presiden parti kami… tidak. Kami angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan YB (Yang Berhormat) Tan Sri Speaker Dewan Rakyat.
“Jadi nasib kami di tangan beliau sekarang,” katanya.
Suhaili berkata, Bersatu mempunyai hak untuk mengambil tindakan perundangan berhubung keputusan Speaker mengenai kedudukan mereka.
“Kalau mereka fikir ada ruang lagi untuk mereka pertikai keputusan Speaker, teruskan. Ini negara demokrasi. Kita tak boleh halang,” katanya.
Beliau enggan memberikan sebarang komen sekiranya keputusan itu membuka jalan kepada Ahli Parlimen pembangkang lain untuk mengikut jejak langkah mereka.
“Wallahualam. Yang itu saya tak berani nak komen. Kita tidak berhasrat untuk memporak-perandakan Dewan Rakyat… tidak.
“Kalau mereka berpandangan dan berpendapat keputusan kami ini adalah baik, kerana sekarang menjadi ahli pembangkang yang tiada peruntukan. Tetapi meraung-raung, menjerit-jerit meminta peruntukan daripada kerajaan.
“Kenapa tidak ikut kami mula-mula? Kita membuat keputusan sokong kerajaan kerana satu sebab mudah. Kita perlu peruntukan Parlimen. Itu sahaja… tegas dan jelas,” katanya.- 11/7/2024