RM185 juta ‘masuk longkang’….9.1 juta dos vaksin Covid 19 tamat tempoh

Jumlahnya RM185 juta bukanlah sedikit.Tentulah ramai yang berkerut muka bila mendengar wang sebanyak itu hangus begitu saja.
Itulah nilai 9,159,151 dos vaksin Covid-19 pelbagai jenama di fasiliti atau gudang simpanan Kementerian Kesihatan (KKM) telah luput sehingga 11 Jun lepas.
Apa nak buat itu antara risiko perlu dihadapi semasa perolehan vaksin berkenaan sewaktu kehangatan wabak penyakit yang melanda satu dunia itu dalam usaha untuk selamatkan rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu di Dewan Rakyat pada Khamis jumlah kerugian termasuk dari segi logistik dan penyimpanan stok vaksin adalah sebanyak RM185 juta (AS$40 juta).
Ia melibatkan sekitar 10.8 peratus daripada jumlah dos yang didapati secara perolehan dan sumbangan.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu jumlah sebenar vaksin Covid-19 terpaksa dilupuskan kerana telah tamat tempoh dan anggaran kerugian ditanggung kerajaan.
Menteri itu kata sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari 2021, kerajaan telah menerima 84.5 juta dos vaksin melalui perolehan atau sumbangan.
Berhubung soal kerugian, Dzulkefly menjelaskan beliau tidak bermaksud negatif terhadap menteri-menteri terdahulu disebabkan ketiadaan prosedur operasi standard (SOP), pendekatan amalan baik atau penanda aras kerana ia melibatkan pandemik kali pertama melanda negara.
“Dengan itu saya memahami kalaupun ada lebihan (vaksin), ia adalah terkait dengan ketika itu persaingan untuk mendapatkan perolehan vaksin yang sangat sengit.
“Maka persoalan bagaimana ada lebihan dan sebagainya, setelah kita mendepani pandemik ini, kita mempunyai sedikit sebanyak SOP dan amalan baik untuk mendepani pandemik yang ke depan,” katanya.- 11/7/2024