PANAS…kes sama tapi keputusan berbeza Speaker DUN Selangor dan Kelantan pasal kedudukan wakil rakyat bekas ahli Bersatu

Siapa yang tak bingung berdepan dengan isu seperti ini.Soalnya sekarang keputusan siapa yang betul dan siapa yang salah.
Soalan yang lebih besar tentunya keputusan yang mana satu yang nak pakai?
Ini bukan hal main pondok pondok tetapi melibatkan keputusan penting yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San dan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Isu ini berkisar kepada kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan keahlian sebagai ahli Bersatu.
Mereka ialah ADUN Selat Klang,Selangor Datuk Abdul Rashid Asari dan Mohd Azizi Abu Naim ADUN Nenggiri,Kelantan.
Gara gara langkah mereka isytihar sokong kerajaan… parti Bersatu gugurkan keahlian mereka dan hantar notis rasmi kepada Speaker DUN menuntut kerusi ADUN mereka dikosongkan untuk pilihanraya kecil diadakan.
Pada 19 Jun lalu Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula pada hari berkenaan.
Mohd Amar yang juga adalah bekas timbalan menteri besar berkata, keputusan itu susulan DUN Kelantan menerima notis bertulis.
Notis berkenaan, katanya adalah daripada Bersatu pada 12 Jun dan Mohd Azizi pada 13 Jun yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Katanya, ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan.
Kemudian Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah adakan mesyuarat dan menetapkan pilihanraya kecil DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini.
Sebaliknya pada hari ini yakni Khamis Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, memutuskan kerusi DUN Selat Klang yang disandang oleh Rashid tidak perlu dikosongkan.
Ini susulan pada 21 Jun lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Pembangkang Selangor menyerahkan notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Weng San, berdasarkan Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Azmin yang juga ADUN Hulu Klang berkata, beliau memaklumkan kepada Weng San bahawa Rashid tidak lagi menjadi ahli Bersatu.
Lau Weng San, semasa memberitahu keputusan kerusi DUN Selat Klang tidak perlu dikosongkan di sidang DUN Selangor kata pemberhentian keahlian Rashid daripada Bersatu didapati sebagai satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara 65A(2)(c) Perlembagaan Negeri Selangor.
“Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.
“Terdapat satu ungkapan Rule of Equity yang berbunyi ‘those who seek equity must come with clean hand and do equity’.
“Ia selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian atau balance of probability, tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka.
“Dengan ini saya mengisytiharkan kerusi Selat Klang tidak dikosongkan,” katanya.
Rashid dan Mohd Azizi merupakan antara tujuh wakil rakyat Bersatu yang dipecat selepas menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain ADUN Nenggiri,Mohd Azizi juga ialah Ahli Parlimen Gua Musang.
Semalam Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul putuskan enam Ahli Parlimen Bersatu itu juga kekal sebagai wakil rakyat selepas dimaklumkan oleh parti Bersatu mengenai pemecatan keahlian mereka dari parti itu.
Selain Mohd Azizi yang lain adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar). – 11/7/2024