KEMASKINI : Kalau nak pinda Akta Lompat Parti…kita boleh bincang – PM

Ekoran kontroversi isu Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu yang kekal sebagai wakil rakyat…Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah buka langkah.
Katanya kerajaan sedia bincang untuk perbaiki kelompongan yang ada pada Akta Lompat Parti.
“Kalau dia nak pinda, kita boleh bincang,” katanya kepada wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah, Presint 9, di Putrajaya.
Beliau mendakwa dulu masa akta itu hendak digubal pihak pembangkang menentang beberapa perkara.
Menurut beliau ramai tidak tahu hal ini.
Perdana Menteri kata Pakatan Harapan pernah mencadangkan supaya mana-mana wakil rakyat yang dipecat atau dibuang oleh parti, mesti mengosongkan kerusi masing-masing, tetapi tidak disetujui oleh kerajaan masa itu yang turut dianggotai oleh Bersatu, PAS dan BN.
“Sebab dia masa tu orang Umno masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja (tidak terkecuali).
Enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu yang berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah buat keputusan mereka kekal sebagai Ahli Parlimen yakni menolak tuntutan Bersatu mereka kosongkan kerusi untuk diadakan pilihanraya kecil.- 12/7/2024
Kekal wakil rakyat: Keputusan Johari ikut undang-undang
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu sebagai wakil rakyat.
Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Keputusan Johari itu berlandaskan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau meminta Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai Akta Anti Lompat Parti secara menyeluruh dan bukan sebahagiannya sahaja.
“Kalau tafsiran undang-undang kena baca seluruhnya, jangan pilih satu dan tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan Bersatu (Muhyiddin), semalam.
“Ikut undang-undang. Bukan soal perdana menteri, soal ketua pembangkang. Dia ikut undang-undang dan tafsiran undang-undang itu serah kepada Speaker.
“Saya tidak tahu kenapa dia baca sebahagian dan tinggal sebahagian. Itu kaedah kerja politik Bersatu. Macam (dalam isu) BlackRock juga, (mereka) baca sebahagian dan tinggal sebahagian. Tidak betul,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian pada hari kedua Global MADANI Forum 2024 di Hotel Sunway Putra, pada Khamis.
Semalam, Muhyiddin mendedahkan Johari memutuskan status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytihar sokongan kepada perdana menteri dan Kerajaan Perpaduan, kekal sebagai wakil rakyat.
Kata Anwar, PH semasa berada di blok pembangkang ada mencadangkan supaya mana-mana ahli parti yang dipecat digugurkan secara automatik sebagai wakil rakyat namun ditentang Bersatu.
“Kami tegas dalam memasukkan bahagian bahawa, jika dipecat, mesti gugur. Namun, Bersatu menentang ketika itu.
“Oleh itu, ia dimasukkan sebagai pengecualian. Jadi, kena baca Perlembagaan,” katanya.- 11/7/2024