Ini keputusan mahkamah pasal isu stoking tertera kalimah Allah di KK Mart…

Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart pada Mac lalu yang mencetuskan kemarahan orang Islam diputuskan di mahkamah pada Isnin.
Mahkamah Sesyen Shah Alam telah mendenda KK Mart dan salah satu syarikat pembekalnya Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing RM60,000 selepas kedua-dua syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda kerana melukakan perasaan orang Islam.
Hakim Muhamad Anas Mahadzir bagaimanapun melepaskan dan membebaskan (DNA) Pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Chai Kee Kan (KK Chai) dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui.
Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, Xin Jian Chang Sdn Bhd turut mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.
Isu ini meletup bila stoking yang tertera kalimah Allah didapati dijual di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lepas.
Mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan ia boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 26 Mac lepas, Kee Kan dan Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas masing-masing satu pertuduhan, sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Sementara itu, syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart bersama tiga pengarahnya, didakwa atas masing-masing satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu tersebut pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Pembekal itu ialah tiga beranak, suami, Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.
Dua syarikat dan lima individu terbabit mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan kes berkenaan.- 15/7/2024