Susulan penyasaran subsidi diesel…PM umum peruntukan subsidi tambahan RM100 juta kepada Felda

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad umum berita gembira pada perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.
Katanya kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan subsidi tambahan RM100 juta kepada Felda bagi menampung kos operasi ladang susulan penyasaran subsidi diesel.
Beliau memberitahu langkah terbabit diambil bagi memastikan pendapatan peneroka Felda tidak terkesan.
“Dengan mengambil kira implikasi kewangan tambahan Felda sebanyak RM121.6 juta setahun akibat kenaikan harga diesel, kerajaan akan menyediakan peruntukan subsidi tambahan sekitar RM100 juta kepada Felda,” katanya.
Beliau menjelaskan peruntukan dipersetujui selepas Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan rundingan bersama beliau berhubung isu dihadapi peneroka Felda.
Anwar berkata, kerajaan turut meluluskan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan Felda, bagi Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani).
Menurutnya, inisiatif berkenaan diharap akan memberi impak positif kepada komuniti Felda.
“SejaTi Madani merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.
“Komuniti diberi kebebasan bermusyawarah untuk memutuskan sektor tumpuan seperti pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula,” katanya.-14/7/2024