
Ketua Pemuda Umno Kelantan calon BN di PRK Nenggiri
Teka teki siapa calon Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil kawasan (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri,Kelantan pada 17 Ogos nanti sudah terjawab.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada sidang media Khamis umum orangnya ialah Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani.
PRK ini diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Azizi yang bertanding atas tiket PAS memperoleh 6,517 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi.
Kawasan DUN ini mempunyai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
SPR telah menetapkan penamaan calon pada 3 Ogos. – 18/7/2024