Peguam Negara tolak permohonan Guan Eng gugur kes rasuah berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

Hasrat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kes rasuah berkaitan projek Terowong Dasar Laut terhadapnya digugurkan tidak kesampaian.
Representasi yang dikemukakan oleh beliau yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu ditolak Peguam Negara.
Keputusan berkenaan dimaklum Timbalan pendakwa raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Kami menerima representasi itu pada 28 Jun. Ia ditolak dua hari kemudian,” katanya kepada hakim perbicaraan Azura Alwi.
Hakim Azura kemudian menetapkan 8 Ogos untuk teruskan perbicaraan.
Representasi yang diserah pada Jun lalu itu mengemukakan beberapa alasan termasuk keterangan saksi utama pendakwaan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kepada mahkamah bercanggah dengan keterangannya kepada SPRM berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.
Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut di negeri itu dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk memperoleh RM3.3 juta suapan sebagai dorongan untuk melantik syarikat Consortium Zenith Construction, bagi melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta Zarul 10 peratus daripada keuntungan sebagai ganjaran kerana membantu syarikatnya mendapatkan projek itu.
Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur, antara 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.
Dia juga menghadapi dua pertuduhan penyelewengan dalam melupuskan dua bidang tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri di Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.- 19/7/2024