ADUN Rembia hadapi kes berat…ini buktinya

Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pada Sabtu adakan sidang video di Tik Tok untuk membuktikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia,Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis yang isytihar sertai PAS Selasa lalu terikat simpul mati dalam akujanji yang cukup berat jika melompat.
Beliau tunjuk dokumen yang ditandatangani oleh Jailani semasa hendak jadi calon Barisan Nasional masa pilihanraya negeri lalu.
Akujanji itu menetapkan beliau antara lain perlu bayar kos gantirugi sebanyak RM100 juta serta mengosongkan kerusi DUN jika berpaling tadah.
“Ramai yang terkeliru dengan kenyataan Adun Rembia yang kononnya beliau tidak ada keterikatan dengan parti apabila membuat pengisytiharan menyertai PAS dan keluar daripada Umno dan BN.
“Hakikatnya, untuk pengetahuan, setiap calon-calon yang mewakili BN sama ada di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, semuanya menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Perwakilan Calon BN. Untuk ini (Jailani), PRN Melaka yang ke-15 2021,” katanya dalam kenyataan di TikTok.
Asyraf Wajdi turut menunjukkan salinan asli yang telah dimatikan setemnya di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mana ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan disaksikan oleh saksi-saksi.
“Ini tandatangan beliau (Jailani) yang paling jelas sekali. Selain daripada perjanjian ini, adanya akuan bersumpah (SD) setiap calon, tulisan beliau (Jailani) sendiri dan juga tandatangan beliau,” katanya.
Menurutnya, dalam SD itu termasuklah di mana dinyatakan secara jelas bahawa: “Jika saya berhasrat untuk menukar parti atau bertukar haluan daripada menyokong BN Malaysia, Umno, MIC dan atau MCA termasuk menjadi Adun Bebas, saya berjanji untuk, pertama (Fasal 6.1), meletakkan jawatan sebagai ahli BN Malaysia, Umno dan Adun supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dan kedua (Fasal 6.2) membayar balik kepada BN jumlah sebanyak RM100 juta.
“Ini ada kesannya kerana kita sudah ada kes, Zuraidah (bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin) yang melompat daripada PKR yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar balik RM10 juta.
“Tetapi dalam kontrak BN, bukan RM10 juta tetapi RM100 juta. Satu lagi perkara yang ingin saya tekankan Perlembagaan Umno menjelaskan dengan sejelas-jelasnya, ini yang membezakan Umno berbanding dengan Bersatu mahupun PAS, kerana Perlembagaan ini sudahpun dipinda sebelum PRU yang lalu,” katanya.
Tegas beliau, Fasal 20.8 menyatakan dengan jelas mana-mana ahli menjadi ahli berdaftar parti politik lain, maka keahliannya gugur setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Katanya, yang kedua, Fasal 20.11, seseorang ahli Umno akan tergugur keahliannya secara automatik sekiranya, pertama, ahli Umno itu telah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat atau Dun, dan kemudiannya telah menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh Umno atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dun Bebas.
“Jadi tepuk dada tanya selera. Sudah terhantuk baru nak terngadah, kita jumpa di mahkamah,” katanya.
Jailani merupakan ahli Umno yang kemudian menyertai PKR sehingga dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Rembia pada PRU 2018. Dia kemudian dilantik menjadi exco Melaka dalam kerajaan PH sebelum mengumumkan keluar dari PKR bersama beberapa Adun lain.
Ia membawa kepada tumbangnya kerajaan PH Melaka di sebalik mandat yang mereka terima pada 2018.
Jailani kemudian menyertai Umno semula selepas itu. Bagaimanapun ekoran pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat, Jailani menunjukkan penentangan dengan terus memihak kepada PN sehingga keanggotaannya digantung selama enam tahun.
Dia akhirnya diumum menyertai PAS pada 16 Julai lalu.
Sementara itu dalam respon segeranya Jailani berkata bersedia membersihkan hal ini di mahkamah.
Juga katanya beliau akan mendedahkan dan menentang setiap “taktik buruk” Umno yang didakwanya bercanggah dengan undang-undang serta tidak berperlembagaan.
Dalam pada itu Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh meminta Jailani menyediakan tabung untuk membayar denda RM100 juta kepada Umno.
“Nasihat saya, siapkan tin-tin milo untuk dikumpulkan,” katanya yang juga ADUN Merlimau.- 20/7/2024
Lagi mengenai isu ADUN Rembia,Melaka yang isytihar sertai PAS
Isu Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rembia,Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis isytihar sertai PAS Selasa lalu terus hangat dengan pengakuan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerajaan negeri menggantung peruntukan kepadanya.

Kata Ab Rauf kalau bersikap tak nampak sehaluan dengan parti…parti berhak jalankan tugas sebagai pentadbir dengan berikan amaran dan tidak beri kemudahan kepada wakil rakyat.
Serentak dengan itu katanya Muhammad Jailani perlu menanggung kos ganti rugi ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu berdasarkan ‘Aku Janji’ yang ditandatangani dengan parti itu.
Ab Rauf bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kos yang perlu dibayar Muhammad Jailani tetapi menjelaskan jumlah tersebut telah pun diketahui semua wakil rakyat sebelum diangkat menjadi calon BN.
“Untuk menjadi Yang Berhormat pada waktu itu, Jailani menandatangani satu Aku Janji dan sedia terima syarat Umno. Ia ditandatangani serta dipersetujui di mana beliau akan menanggung kos yang menjadikan beliau sebagai wakil rakyat (jika lompat parti).
“Aku Janji ini ditandangani semua wakil rakyat. Selepas perjanjian ini dipersetujui baru parti beri watikah untuk jadi calon BN,’’ katanya.
Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Jumaat ,Ab Rauf enggan ulas kedudukan Muhammad Jalani sebagai ADUN.
“Tentang kedudukan beliau sebagai ADUN, itu saya tak boleh komen. Terserah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat keputusan.
“Walau bagaimanapun, untuk menjadi seorang wakil rakyat melalui Umno, beliau telah menandatangani sebuah aku janji mengekang penghijrahan ke mana-mana parti politik daripada parti asal yang ditunjangi dan memberikan tempat untuk bertanding.
Mengulas dakwaan ADUN Rembia itu bahawa beliau seolah-olah digantung tidak bertali oleh Umno,Ab Rauf kata Muhamamd Jailani sepatutnya memperbaiki kesilapan yang dilakukan setelah digantung oleh Umno.
“Apabila parti mengambil tindakan, dalam tempoh idah digantung keahlian, sepatutnya kita ikut tataetika parti supaya dapat memperbaiki kesilapan apa yang menyebabkan dia digantung.
“Kalau kita bersikap tidak menampakkan sealiran dengan parti, parti berhak untuk menjalankan tugas sebagai pentadbir kepada wakil rakyat dengan memberikan amaran dan tidak lagi memberikan kemudahan sebagai wakil rakyat berlandaskan aku janji yang telah ditandatangani sebelum menjadi calon.
“Kalau cakap begitu (digantung tidak bertali), saya tidak setuju. Seolah-olah kita ini bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak,” katanya.
Muhammad Jailani sebelum ini dilaporkan dakwa peruntukan di kawasannya disekat hingga menyukarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, tindakan itu umpama digantung tidak bertali walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin Umno memohon untuk memecat keahliannya daripada parti berkenaan.
“Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya… gantung tidak bertali.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan mengenai penyertaan Muhammad Jailani dalam PAS sejak Jun lalu.
Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.
Muhamad Jailani sebelum ini menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.
Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri 20 November 2021.-19/7/2024