Anak Najib ulas dakwaan jumpa pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri Pahang

Assalamualaikum semua,
Saya Mohamad Nizar bin Mohamad Najib ingin menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang menyatakan Saya telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri Pahang. Pertemuan dongeng ini tidak pernah berlaku sama sekali.
Ayahanda Dato Sri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. Mana mungkin Saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga Saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan.
Mana mungkin Saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, seorang pemimpin yang Saya amat kasihi dan hormati.
Beliau juga telah banyak membantu pengundi Saya di kawasan Peramu Jaya Pekan. Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati. Mana mungkin Saya seorang Exco kerajaan negeri Pahang dan ADUN kerajaan negeri tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.
Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.
Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan.
Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)”.
Mesejnya jelas. Saya kekal setia bersama UMNO Barisan Nasional dan kerajaan negeri Pahang yang ada sekarang.
Mohamad Nizar bin Mohamad Najib
ADUN N21 Peramu Jaya
UMNO dan Barisan Nasional
Begitulah bunyi hantaran anak sulong Datuk Seri Najib Tun Razak,Nizar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang di laman facebook beliau Nizar Najib NN11 pada lewat malam hari Isnin.
Beliau menafikan spekulasi mendakwa sudah bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang.
Nizar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pekan meminta supaya fitnah yang hanya mahu mencari keuntungan politik murahan dihentikan.
“Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama Umno, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang,” katanya lagi.- 23/7/2024