Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the auxin-news domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/vhosts/x-press.my/httpdocs/wp-includes/functions.php on line 6131
Akaun Fleksibel: 3.4 juta ahli KWSP buat pengeluaran RM8.9 bilion - X-press Malaysia
Home / TAHUKAH ANDA / Akaun Fleksibel: 3.4 juta ahli KWSP buat pengeluaran RM8.9 bilion

Akaun Fleksibel: 3.4 juta ahli KWSP buat pengeluaran RM8.9 bilion

SEBANYAK 3.4 juta daripada 13.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun, membuat pengeluaran Akaun Fleksibel berjumlah RM8.9 bilion setakat 19 Julai lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bagi tempoh sama, sejumlah 29.3 peratus atau 3.8 juta ahli KWSP memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) dengan pemindahan berjumlah RM12.6 bilion manakala RM5.6 bilion dipindahkan ke Akaun Persaraan.

Beliau berkata pindahan ke Akaun Persaraan memberi kesan kepada peningkatan simpanan ahli iaitu penambahan 43,000 ahli baharu yang mencapai simpanan asas.

“Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli dalam lingkungan alokasi (peruntukan) tunai dan pasaran wang KWSP.

“Di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa, KWSP telah memperuntukkan pelaburan instrumen tunai dan pasaran wang sebanyak dua peratus hingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai peratusan pencarum yang memilih untuk memindahkan caruman ke dalam Akaun Fleksibel KWSP dan jumlah pengeluaran berkaitan.

Menyentuh implikasi ekonomi kepada negara, Amir Hamzah berkata jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion atau kira-kira 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk 2023.

“Namun begitu, kesan sebenar pengenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kecenderungan cara perbelanjaan ahli,” katanya.

Pada masa sama, Amir Hamzah menegaskan penstrukturan semula akaun KWSP bertujuan menambah baik jaminan pendapatan persaraan di samping memberi akses kepada akaun fleksibel pada bila-bila masa, terutama bagi tujuan kecemasan.

“Bagaimanapun ahli KWSP dinasihatkan untuk memanfaatkan pengeluaran ini bagi tujuan kecemasan dan keperluan mendesak sahaja,” katanya.

— BERNAMA- 25/7/2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *