Siapa mereka….?

Imbas kembali… Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pernah buat gempar bila umum letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 31 Mac lalu.
Dari sudut politik langkah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bikin panas kerana beri alasan keputusan itu dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di Selangor hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.
Sudah tentu yang sangat terasa dengan pengumuman itu ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnian Omar Din.
Kebetulan Megat Zulkarnain juga ialah Setiausaha Politik kepada Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Tindakan Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja telah cetuskan ‘perang dingin’ antaranya dengan kepimpinan UMNO Selangor.
Ketika isu itu makin mereda bekas CEO CIMB Group ini lempar sebiji bom lagi dalam gelanggang UMNO dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong di Georgetown pada Sabtu.
Beliau menegaskan parti keramat orang Melayu itu tidak memerlukan barisan kepimpinan yang sudah muflis idea.
Menurutnya jika demikian baharulah UMNO yang suatu masa dahulu memimpin negara ini kembali dipercayai oleh rakyat.
“Rakyat dah muak tengok pemimpin yang sibuk berpolitik sepanjang masa. Rakyat mahukan pemimpin yang ambil peduli isu mereka, ada visi untuk anak-anak mereka.
“Tapi masih ada segelintir pemimpin kita yang cakap perkara-perkara remeh. Hentam sesama sendiri, cakap pasal agenda peribadi. Ini cakap-cakap orang tandus idea,” katanya.
“Itu mesej utama saya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong,” katanya di media sosial kemudian menjelaskan lagi maksud ucapannya.
Menurut Tengku Zafrul ada cara untuk UMNO kembali menjadi tempat orang ramai memberikan kepercayaan seperti apa yang pernah parti itu nikmati sebelum ini.
“Kita (UMNO) perlu buktikan kepada rakyat, UMNO ada idea-idea segar untuk menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi negara dan menjamin masa depan anak-anak mereka.
“Barulah rakyat akan kembali percaya kepada UMNO,” katanya.
Walaupun sukar, Tengku Zafrul berkata, beliau yakin keadaan boleh dipulihkan bahkan itu adalah satu-satunya pilihan yang ada buat parti berkenaan.
“Mampukah kita lakukannya? Saya yakin boleh. Dan kalau pemimpin tak nak berubah, ahli-ahli UMNO wajib tegur demi kebaikan parti keramat kita,” katanya.
Gara gara ini isu yang berbangkit ekoran kenyataan Tengku Zafrul ialah siapakah kalangan pimpinan UMNO yang muflis idea itu?
Ketika umum letak jawatan Bendahari UMNO Selangor dulu semua orang sudah dapat bayangkan batang tubuh orang yang dimaksudkan.
Kali ini skopnya cukup meluas.
Antara yang turut ingin tahu siapa yang Tengku Zafrul maksudkan ialah bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang kebelakangan ini giat membuat komentar politik termasuk ada podcast sendiri.
“Wah, itu adalah ucapan yang bagus kalau kita tahu siapa yang dia maksudkannya,” kata Zaid melalui platform X.
Beliau yang pernah menganggotai UMNO,PKR dan DAP menambah Tengku Zafrul adalah sebahagian daripada tokoh tipikal dalam UMNO yang selalu mengelak daripada berterus terang semasa membuat kenyataan.
Kata Zaid, orang sebegitu selalu memilih untuk bercakap dengan teka-teki, mungkin dengan alasan mahu mengelak pihak yang disentuh itu berkecil hati atau kesipuan.
Cara itu, tambahnya, mungkin dianggap sesuai dengan pendekatan dalam budaya Melayu namun menganggapnya sebagai kaedah zaman feudal, justeru tidak lagi sesuai pada ketika ini.
“Ia adalah tanda pengecut dan tidak lagi membawa apa-apa tujuan.
“Bagaimanakah dia mengharapkan orang ramai tahu siapa yang dimaksudkan? Ahli UMNO pun akan meneka – adakah dia merujuk kepada Zahid Hamidi, Tok Mat (Mohamad Hasan), Azalina, atau kesemua mereka?” katanya lagi.-28/7/2024