FOKUS

Perikatan Nasional makin bergegar dengan perbalahan PAS-Gerakan

Dua gabungan utama Perikatan Nasional (PN) kini tenggelam dalam perbalahan panas yang cetus kemungkinan gabungan itu pecah.

Kedua parti itu nampaknya tidak ada titik temu dalam pendirian berbeza terhadap isu sumbangan dana dari syarikat berkaitan arak dan rokok untuk sekolah Cina.

Pada Isnin menyaksikan pemimpin utama PAS senada tidak kisah jika Gerakan keluar dari PN.

Manakala pimpinan utama Gerakan tidak beri sebarang petanda ia akan kendur mempertahankan pendiriannya.

Antara pemimpin utama PAS yang bersuara setakat ini menghentam Gerakan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man,Naib Presiden Datuk Mohd Amar Abdullah, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari.

Tuan Ibrahim membidas kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang dianggapnya senada dengan pendirian DAP menyokong sumbangan dana syarikat arak tersebut kerana ia memberi imej negatif dan boleh menimbulkan polemik.

Beliau berkata, sebagai salah seorang Presiden parti komponen PN Dr Dominic sepatutnya perlu mendukungi mana-mana nilai baik yang telah dibuat.

“Walaupun mungkin kenyataan itu pandangan peribadi beliau tetapi sebagai Presiden parti, ia boleh dianggap pendirian parti itu sendiri. Kita kena sedar isu ini bukan masalah kita (pembangkang), tapi masalah kerajaan. Sepatutnya kerajaan selesaikan dan kita tegas dengan prinsip kita,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan, semua perkara yang membawa kesan negatif serta implikasi buruk tidak wajar disokong oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Kata beliau, jika kenyataan Dr Dominic itu untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Cina, itu bukanlah cara yang betul.

“Sama ada Cina, Melayu dan lain-lain, nilai moral perlu diberi perhatian dan tidak mahu ada kaum tertentu tidak hiraukan nilai moral sebab kita semua rakyat Malaysia,” tegasnya.

Tuan Ibrahim berkata, tidak sepatutnya perkara negatif itu cuba dinormalisasi kepada pelajar sedangkan syarikat rokok juga tidak dibenarkan memberi sumbangan kepada sekolah.

“Apatah lagi hasil daripada aktiviti yang jelas membawa kemudaratan kepada masyarakat,” tegas beliau lagi menolak sama sekali dana dari syarikat seperti itu diberikan kepada sekolah sebagai tempat didikan anak-anak.

Mohd Amar Abdullah pula menegaskan ‘’Kalau Gerakan rasa dia tak selesa dengan PN , dia boleh buat keputusan untuk keluar tak ada masalah kerana ini negara demokrasi.’’

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong bahawa parti itu tidak akan teragak-agak keluar PN bagi mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana termasuk daripada syarikat arak,Mohd Amar berkata, PAS tiada halangan jika Gerakan mengambil keputusan keluar daripada PN.

‘’Setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan,’’ katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, berkata Gerakan perlu belajar menghormati orang Melayu dan Islam di negara ini, bukannya membuat ugutan politik.

“Tak payah nak ugut oranglah, kita pun dah matang. Tak payah ugut tapi sebaliknya belajar menghormat orang juga.Belajar hormat orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Tak perlu ugut-ugut, politik apa ugut-ugut ni? (Politik ugut-ugut ni) lama dah tu,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu kata beliau secara peribadi tidak ada sebarang masalah jika benar Gerakan mahu keluar dari PN.

“Sila keluar”, katanya.

“Iyalah, semua orang nak hormat dia (Gerakan) saja, (sedangkan) dia tak reti nak hormat kita.

“Takkan semua benda kita nak hormat dia? Dia tak perlu hormat kitakah?” katanya.

Beliau berpendapat teguran agar menghormati orang Melayu dan Islam itu bukan saja ditujukan kepada Gerakan bahkan semua parti yang berasaskan kaum di negara ini. – 29/7/2024

BERITA SEBELUM INI : Hubungan PAS – Gerakan goyang…

Ini ‘gertak sambal’ atau amaran yang bukan main main? Isu bantuan penyaluran dana kepada sekolah Cina oleh syarikat berkaitan arak atau rokok telah goncang hubungan PAS dan Gerakan yang duduk dibawah payung Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari telah buka langkah beritahu pendirian Gerakan dalam isu berkenaan adalah sesuatu yang “sangat mengecewakan”.

Pendirian ini dinyatakan beliau gara gara pada Sabtu semalam, Gerakan dilaporkan sependapat dengan DAP – meminta supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang daripada membantu penyaluran dana kepada sekolah Cina.

“Jika inilah yang selalu ditonjolkan oleh Gerakan, PRU ke-16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik,” kata Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran di Facebooknya.

Pemimpin PAS mengkritik keras pendirian DAP yang menyokong sekolah vernakular menerima sumbangan daripada pihak luar melalui program anjuran syarikat bir.

PAS turut mengecam hebat Ahli Parlimen Sepang, Aiman Atirah Sabu, kerana menghadiri majlis sumbangan kepada sebuah sekolah jenis Cina yang melibatkan syarikat Tiger Beer sebagai pihak yang memudah cara sumbangan awam.

Presiden Gerakan, Dominic Lau dilapor mengambil pendirian itu kerana mendakwa sekolah aliran Cina di negara ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan pusat untuk beroperasi dengan sempurna.

Jelas Lau, segala kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar yang tidak terhad daripada syarikat-syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

“Kalau tak mahu sekolah aliran Cina ini terima dana, okay kita setuju, tapi kerajaan kena bagi dana yang mencukupi kepada sekolah-sekolah aliran ini,” katanya dalam sidang media.

Kelmarian kerajaan memutuskan untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi prosedur sumbangan dana kepada sekolah, termasuk larangan memapar atau mempromosi minuman keras dalam sekolah.

Namun Kementerian Pendidikan (KPM) berkata kerajaan juga setuju memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular untuk menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah (LPS) dan yayasan, seperti yang telah diamalkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, jemaah menteri menegaskan penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” kata KPM.- 28/7/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button