Kontrovesi Gerakan-PAS…nada sudah jadi lain

Datuk Dr Puad Zarkashi dikenali sebagai salah seorang ahli politik yang suka cakap lepas dalam membuat komentar sesuatu isu politik.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini dakwa ura ura Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) akan keluar dari Perikatan Nasional (PN) gara gara beza pandangan isu dana untuk sekolah Cina dari syarikat berkaitan arak
tidak akan berlaku.
Ikut pandangannya ia adalah ‘wayang’ semata-mata dimana PAS dan Gerakan hanya berlakon demi mendapatkan kuasa.
Mungkin sebagai orang lama dalam sepak terajang politik beliau sudah dapat baca dimana akhirnya kontroversi itu.
Setelah berlaku hentam menghentam antara Gerakan dan PAS berasaskan pendirian masing masing senarionya nampaknya nada sudah jadi makin lembut sejak Selasa semalam.
Ini bila Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil menilai situasi yang berlaku antara dua parti gabungan PN itu hanyalah satu perbezaan pandangan.
Ahli Parlimen PN Machang,Kelantan itu tidak sembunyi kata PN masih memerlukan Gerakan memandangkan gabungan parti itu mewakili rakyat berbilang kaum.
“Kami bukan Melayu far-right, xenofobik, Islamis atau ekstremis. Kami (PN) untuk semua.
“Saya rasa PAS setuju dengan saya dalam aspek ini, tetapi biasalah kadang-kadang adik dan abang bergaduh,”katanya.
Wan Ahmad Fayhsal kata Bersatu akan menjadi pendamai dalam perbalahan antara PAS dan Gerakan berhubung isu sumbangan dana dari syarikat berkaitan arak itu.
Isu ini menjadi panas pada 27 Julai lalu, Gerakan berpendirian penglibatan syarikat minuman keras dalam seumpama itu tidak seharusnya dilarang.
Ini mengundang kritikan daripada pemimpin PAS antaranya Ketua Penerangan, Mohd Fadhli Shaari dan Timbalan Presiden,Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang anggap pendirian itu sama dengan DAP.
Bahkan, PAS memberi bayangan bahawa dengan pendirian itu tidak mustahil mereka akan memilih haluan berbeza dengan Gerakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau memahami pendirian PAS dan Gerakan dalam isu berkenaan.
Begitupun, beliau tidak bersetuju minuman keras ’dijaja sebegitu rupa’ di sekolah, sama ada sekolah vernakular atau bukan.
“Kami tidak membantah sekolah vernakular dan sekolah vernakular ada hak untuk raih dana daripada mana-mana sumber.
“Tetapi anda tidak boleh secara terang-terangan promosi alkoholisme di sekolah seperti apa yang berlaku di sekolah di Sepang.
“Salah juga untuk (Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan) Aiman Athirah menunjukkan thumbs up dengan sepanduk. Ia penghinaan kepada agama, kaum dan masyarakat,” katanya lagi.
Juga..agak menarik pada Selasa Gerakan sendiri telah ‘ tukar nada’.
Presiden Gerakan Dominic Lau keluarkan satu kenyataan yang bandingkan hubungan PAS dan Gerakan seperti hubungan suami isteri.
Menurutnya keduanya mempunyai personaliti bertentangan, namun tetap menjadi teman sejati.
“Yang ajaibnya, perbezaan itu yang mengikat kita bersama, bukan persamaan. Sepasang suami isteri selalunya personaliti mereka bertentangan, tetapi mereka menjadi teman sejati sehingga hayatnya menemui pencipta.
“Perbezaan yang wujud di antara kita memberi fleksibiliti dan kekuatan kepada kita. Satu pasukan yang selalu bergaduh akan jalan lebih jauh daripada satu pasukan yang setuju 100 peratus kerana elakkan konfrontasi,” katanya.
Lau menambah bahawa sudah tiba masanya untuk mengukuhkan gabungan itu.
Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang sebelum ini tegas kata parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia bermakna mempertahankan pendidikan Cina pula menyeru semua parti komponen gabungan PN adakan pertemuan.
Dr Puad Zarkashi mungkin tersenyum membaca perkembangan ini.- 31/7/2024