TAHUKAH ANDA

Al-Fatihah : Datuk Sharifah Azizah…ADUN Mahkota,Johor meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) BN kawasan Mahkota, Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, yang dilaporkan mengalami pendarahan dalaman meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari Jumaat.

Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Pada PRN 2022 beliau yang mewakili BN menewaskan tiga calon lain dari Perikatan Nasional,Amanah dan Warisan dengan majoriti besar sebanyak 5,166 undi.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.

Perkhabaran duka itu disahkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menerusi Facebooknya.

“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka mengenai pemergian‎ ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ummi’, amat dirasai kerana beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota, tidak akan dilupakan.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah, dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di pekarangan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di Kluang kira-kira jam 10.30 pagi tadi untuk menziarahi Sharifah Azizah.

Presiden UMNO itu turut diiringi Pengarah hospital berkenaan, Dr Mohamad Nizam Subahir; bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; dan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Sharifah Azizah berada dalam keadaan agak kritikal dan sudah berhenti diberikan ubat tidur sejak pagi tadi.

Rabu lalu, media melaporkan Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalaman.

Selain itu, beliau pernah dilapor mendapatkan rawatan di hospital, Mac lalu, berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Allahyarham adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.- 2/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button