YANG VIRAL

Hubungan akrab Anwar – Srettha mudahkan urusan Malaysia – Thai…

Satu perkara menarik ialah sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Srettha Thavisin menjadi Perdana Menteri Thailand kedua mereka lebih kerap adakan pertemuan dua hala untuk selesaikan segera urusan semasa khususnya melibat hal di sempadan kedua negara.

Pada Sabtu Anwar dan Srettha sekali lagi adakan pertemuan.Kali ini di Kompleks CIQ Sungai Golok.

Di situ mereka berdua antara lain sepakat menyegerakan projek pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta menambah baik jambatan sedia ada yang telah dibina lebih 50 tahun lalu.

Pembinaan jambatan ini bakal merancakkan kesalinghubungan kedua-dua negara serta memangkin pembangunan ekonomi di utara Kelantan dan Selatan Thailand, langsung mencipta limpahan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua kawasan.

Anwar memberitahu menerusi laman facebooknya beliau dan PM Srettha turut mencapai kesepakatan untuk melaksanakan projek memperdalamkan muara Sungai Golok bagi mengatasi isu limpahan air sungai yang menjadi antara punca banjir di Kelantan dan Narathiwat.

“Persefahaman ini menggambarkan komitmen jelas Kerajaan Malaysia dan Thailand untuk memastikan pertumbuhan ekonomi di sempadan kedua-dua negara berjalan pantas, sekali gus memberi laluan kepada usaha perdamaian di Selatan Thailand dan pembangunan di utara Semenanjung.

“Usai pertemuan empat mata, saya dan PM Srettha bersama-sama delegasi kedua-dua negara diberi taklimat mengenai projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok, yang dijangka mula dibina awal tahun depan dan siap penghujung 2026 apabila disegerakan, Insya-Allah.

“Saya juga maklumkan pada Menteri Besar Kelantan yang hadir dalam lawatan ini, bahawa Kelantan perlu mengambil peluang daripada projek ini dengan mewujudkan ruang perniagaan baharu yang selesa di kawasan sempadan Rantau Panjang.

“Sebaik selesai taklimat, saya dan PM Srettha menyeberangi sempadan menuju ke Malaysia dan bergambar di hadapan Kompleks ICQS Rantau Panjang sebagai simbolik persefahaman dan persahabatan utuh kedua-dua negara,” katanya.- 3/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button