Perang dingin antara Tengku Zafrul – Megat Zulkarnain berakhir…

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bikin kejutan yang goncang UMNO Selangor pada 1 April lalu bila tiba tiba umum letak jawatan sebagai Bendahari UMNO negeri itu.
Keputusan itu diiringi dengan alasan yang telah cetuskan perang dingin antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Katanya keputusan itu dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di Selangor hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.
Tengku Zafrul yang juga Ahli Mjalis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja menilai UMNO sukar digelar parti nasional atau parti untuk masa depan jika tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor.

Tengku Zafrul berkata, pendekatan dan prinsipnya mudah iaitu jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.
“Lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif. Sewaktu saya dipilih sebagai ahli MKT UMNO dari Selangor dan dilantik Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dulu, saya sudah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di Selangor,” katanya.
Tindakan Tengku Zafrul itu telah medorong beberapa orang kanan Megat nafi dakwaannya dan buat kenyataan menghentam beliau.
Pada Ahad…suasana agak lain macam bila Zahid selaku Presiden UMNO turun merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di Klang yang diketuai Tengku Zafrul.
Hadir sama ialah Megat Zulkarnain.
Timbalan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan mesyuarat itu meminta kedua-dua pemimpin itu bangun dan naik ke pentas sebelum bersalam dan berpelukan sebagai tanda berdamai.
“Jagalah hubungan baik dengan Datuk Megat. perkara lepas kita ketepikanlah. Dalam politik kecil hati perkara biasa,” katanya.
Zahid ketika berucap turut menuntut akar umbi parti di bahagian Kota Raja untuk memberikan sokongan kepada Tengku Zafrul sebagai ketua selain mahu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu terus menyantuni akar umbi.
“Jangan harap duduk di atas pentas saja. Kalau yang bawah tidak memberi sokongan (tidak boleh juga). Oleh itu turun ke bawah santuni akar umbi…
“Akar umbi pun jangan jadi batu api.
“Zafrul, kamu ada masa depan yang cerah, tapi dengan syarat turun ke bawah menangani semua akar umbi, itulah hakikatnya,” katanya.
Dalam ucapannya lagi Zahid meminta ahli UMNO terima hakikat prestasi parti tersebut kehilangan dominasi untuk mentadbir Selangor dan Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-12 berikutan kegagalan melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.
“Bukan hanya di Selangor, tetapi di seluruh negara. Kita sedang mendakapi realiti politik baru, ini adalah suatu situasi yang harus kita hadapi. Untuk kita lihat, sejarah silam jangan harus kita padamkan.
“Walaupun suatu ketika Selangor menjadi simpanan tetap politik kita, namun situasi itu berubah dan ia berlaku bukan secara organik, sebaliknya sangat berstruktur,” katanya.
Zahid mengingatkan supaya ahli di peringkat akar umbi untuk tidak merasa UMNO dominan seperti dahulu dengan pelantikan tujuh menteri kabinet daripada parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
“DAP yang mempunyai (menang) kerusi lebih daripada kita, mereka hanya mempunyai lima menteri penuh.
“Janganlah kita yang berada di akar umbi ini (menganggap) bahawa tujuh ini seolah-olah kita dominan seperti dahulu.
“Realiti politik baru ini, kita mesti mengukur baju di badan sendiri,”tambahnya.- 4/8/2024