Tandatanya siapa Ketua Setiausaha Negara baharu menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos ini terjawab.
Pejabat Perdana Menteri beritahu pada Rabu Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar,55 dilantik ke jawatan itu.
Katanya perlantikan itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkuat kuasa mulai 12 Ogos ini.
Shamsul Azri yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti of Cambridge, United Kingdom (UK) dan European Institute of Business Administration (INSEAD).
Shamsul Azri pernah bertugas di Kementerian Kewangan; Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga pentadbiran kerajaan negeri.- 7/8/2024
Terima Kasih KSN….
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali hadir buat kali terakhir pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Ogos di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada Isnin.
Mohd Zuki, 62, yang memegang jawatan sebagai KSN sejak 31 Dis 2019 bakal menamatkan perkhidmatan pada 10 Ogos 2024 selepas menjawat jawatan itu secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada perhimpunan bulanan itu menzahirkan penghargaan di atas perkhidmatan Mohd Zuki dan menyifatkan beliau sebagai tonggak penting dalam perkhidmatan awam.

Turut hadir dalam majlis perjumpaan tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – 5/8/2024