FOKUS

PRK DUN Nenggiri,Kelantan belum beres…’tembak menembak’ sudah panas di DUN Mahkota,Johor

Kata orang tanah kubur Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu masih merah…sudah timbul pergeseran menuntut hendak letak calon pada pilihanraya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.

‘Tembak menembak’ semakin panas meletus antara dua parti gabungan kerajaan perpaduan yakni PH-Amanah dan BN-UMNO.

Satu lagi rakan gabungan itu yakni DAP pula ambil jalan tengah berpegang kepada prinsip parti penyandang di mana kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini akan bertanding dalam PRK.

Ini bermakna DAP berpihak kepada BN-UMNO yang merupakan parti Allahyarham Sharifah Azizah.

Sekalipun kerajaan negeri Johor sekarang bukan kerajaan perpaduan seperti di pusat namun pergeseren terbuka ini boleh memberi kesan negatif pada hubungan antara parti gabungan.

Kerajaan negeri Johor merupakan kerajaan BN-UMNO yang menang besar semasa pilihanraya negeri 2022 lalu.

Selain kesan kepada PRK DUN Mahkota yang akan diadakan nanti ia dibimbangi boleh beri impak negatif kepada senario PRK di DUN Nengiri,Kelantan yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini.

Sehingga saat ini kalau ditafsir dari kenyataan yang dibuat oleh kalangan pimpinan Amanah dan UMNO nampaknya keduanya tidak berganjak dari pendirian masing masing.

Pada pilihanraya negeri lalu Allahyarham Sharifah Azizah telah memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti besar iaitu 5,166 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman daripada Amanah, yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Sementara itu pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan mendapat majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon PAS, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata mereka menuntut bertanding pada PRK nanti kerana Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRU-14 dan turut bertanding kerusi itu dalam PRN pada tahun 2022.

Pemuda UMNO Johor pula menyifatkan tuntutan dibuat Amanah untuk diberikan laluan bertanding pada PRK DUN Mahkota kelak, sebagai gelojoh dan tamak.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarham Sharifah Azizah yang baru meninggal dunia.

Katanya, sikap gelojoh dan tamak pimpinan Amanah Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa, tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan berpolitik.

“Seharusnya pimpinan Amanah menunjukkan contoh dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarham dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah.

“Sikap sebegini bukanlah nilai-nilai yang wajar untuk disemai dalam kalangan rakan-rakan, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan semua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Keutamaan untuk memanfaatkan platform dalaman secara bermusyawarah adalah lebih afdal dan kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menerusi satu kenyataan pada Isnin menegaskan, prinsip membenarkan parti penyandang bertanding dalam PRK akan datang itu sama seperti yang telah dilakukan dalam PRK sebelum ini termasuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Malah, kata beliau, DAP Johor juga berpegang kepada amalan lazim Pakatan Harapan bahawa penentuan serta pelantikan calon dan pembahagian kerusi ditentukan pucuk pimpinan parti-parti komponen secara musyawarah tanpa perlu dibincangkan dalam media massa.

“Biarlah kepimpinan membuat keputusan tanpa sebarang spekulasi serta tanpa mana-mana pihak membuat tuntutan terbuka di media massa.

“Rundingan kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN). DAP Johor akan menghormati keputusan yang bakal dibuat,” katanya.- 5/8/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button