FOKUS

Usaha bekas wakil rakyat sekat pilihanraya kecil Nenggiri menerusi ‘langkah mahkamah’ gagal

Lima hari menjelang pilihanraya kecil (PRK) kerusi dewan undangan negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang,Kelantan akan berlangsung usaha bekas wakil rakyat, Mohd Azizi Abu Naim untuk sekat PRK itu gagal.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi Isnin menolak permohonan injunksi Mohd Azizi terhadap PRK itu.

Ini adalah kali kedua mahkamah menolak permohonan injunksi darinya. Kali pertama pada 27 Jun lalu.

Pagi Isnin Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa undang-undang tidak membenarkan injunksi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menjalankan fungsi penting dalam proses demokrasi.

Injunksi ini adalah berkaitan dengan saman utamanya yang berdasarkan pemberhentian keahlian Bersatunya.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang terpaksa kosongkan kerusi DUN Nenggiri setelah digugurkan sebagai ahli parti Bersatu kerana berpaling tadah sokong kerajaan.

Pada prosiding kes itu 7 Ogos lalu Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili SPR beritahu Mahkamah Tinggi bahawa permohonan injunksi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi itu adalah bersifat akademik.

Ini kerana suruhanjaya itu telah mengarahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“SPR telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi kerusi Nenggiri pada 3 Ogos dan hari pengundian pada 17 Ogos,” katanya.

Menurutnya SPR adalah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan diamanahkan untuk mengadakan pilihan raya di negara ini dan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan fungsinya.

Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pula berkata anak guamnya hanya menjalankan tugas mengikut Perkara 31A Perlembagaan Kelantan mengenai pemakluman kekosongan kerusi Nenggiri.

“Permohonan Mohd Azizi telah diatasi oleh peristiwa semasa. Ia seperti memutar kembali roda masa. Ia bukan sesuatu yang harus kita lakukan,” katanya sambil menambah bahawa permohonan itu harus ditolak oleh mahkamah.

Peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Mohd Azizi, berkata anak guamnya masih ahli BERSATU dan tidak berhasrat menjadi calon kerana perkara tersebut akan menjejaskan saman beliau terhadap parti itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan 12 Ogos ini untuk keputusan.

Mohd Azizi, selaku plaintif, memfailkan saman pemula pada 24 Jun lalu dan menamakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Mohd Amar dan SPR sebagai defendan.

Menerusi saman pemula itu, Mohd Azizi memohon deklarasi bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang oleh beliau.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada BERSATU melalui notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah, bahawa notis itu sendiri tidak sah dan bahawa pemecatannya dibuat dengan niat jahat.

Mohd Azizi berkata, pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa keanggotaan akan ditamatkan jika ahli terbabit menyokong parti lawan adalah tidak berperlembagaan.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh Mohd Azizi bagi menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil bagi DUN itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kerosakan kerana masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya itu. -12/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button