Ustaz Don tidak lagi boleh mengajar agama di Selangor

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar yang diberikan kepada pendakwah selebriti Don Daniyal Don Bijayid berkuat kuasa pada 24 Julai lalu.
Hal ini dinyatakan dalam sekeping surat pemberitahuan mengenai perkara itu yang tular di media sosial.
Perkara tersebut disahkan Exco Agama Islam Selangor Mohammad Fahmi Ngah.
“Sahih,” katanya mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini Isnin.
Sebelum ini Don Daniyal dilanda kontroversi susulan ceramahnya yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Ini mendorong JAIS mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak mengundang penceramah itu untuk mengajar agama Islam di premis masing-masing.
Selain Don Daniyal, empat individu lain turut disenaraikan iaitu Mohd Shahabudin Md Yatim, Mohd Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd Norhisyham Tuan Padang.
Surat tersebut turut memaklumkan agar semua masjid dan surau di negeri itu tidak mengundang individu-individu terbabit untuk mengajar.- 12/8/2024