PM serah surat lantikan kepada Datuk Bandar KL…pertama kali seorang wanita

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menyerahkan surat pelantikan kepada Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang akan menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL) baharu bermula esok,Khamis.
Dr Maimunah merupakan wanita pertama jadi Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Perdana Menteri itu berkata, pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Menerusi laman facebooknya Perdana Menteri berkata ,” “Saya percaya, beliau adalah individu yang layak untuk menggalas amanah mengemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan pengalaman selama hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti tatkala mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Ini termasuk pengalamannya sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA),”
“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini.
“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah,”katanya.- 14/8/2024