FOKUS

Tengku Mahkota Pahang murka pada Muhyiddin…

Ceramah Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Nenggiri yang didakwa memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 telah mengundang kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim .

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu itu didakwa telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih perdana menteri ke-10 semasa ceramah itu di Felda Perasu,Gua Musang,Kelantan pada 15 Ogos lalu.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Kuantan pada Isnin Tengku Mahkota itu menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas Al-Sultan Abdullah.

“Kenyataan Muhyiddin ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah, mengikut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai ketua negara.

Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa perdana menteri haruslah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Namun begitu, titah baginda, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik perdana menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.

“Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Justeru, saya mahu pihak PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum),” titah baginda.

Tengku Hassanal juga menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, supaya sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat.

Ini, titah baginda, agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia.

Ucapan Muhyiddin di ceramah umum di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu itu menjadi tular di media sosial.

Dalam pada itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, Ahad malam.- 19/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button