TAHUKAH ANDA

PM kesal dikritik kerana bawa balik rakyat Palestin cedera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Beliau berkata ada dalam kalangan mereka yang sanggup mencerca usaha murni berkenaan, sedangkan ia merupakan tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.

Lebih menyedihkan, ada yang meminta Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Palestin berikutan perhatian yang diberikan terhadap usaha menyediakan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera, di negara ini.

“Kezaliman Israel menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi (dan) wanita, malah baru-baru ini lelaki dipenjara, ada yang diperkosa, kemudian kita bawa balik, itu pun dicerca, ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.

“Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh. (Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu…banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda,” kata beliau, lapor Bernama.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai di Johor Bahru, hari ini.

Perdana menteri berkata tidak cukup dengan itu, ‘pihak sebelah sana’ juga, langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ataupun menzahirkan tahniah kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya melabel kerajaan sebagai ejen Yahudi, ejen Amerika Syarikat dan ejen Israel.

Namun, apa yang menghairankan Anwar adalah ada penjawat awam yang ‘terpukau’ dengan dakwaan dan tindakan seperti itu, yang disifatkan beliau sebagai pandangan buruk dan kusut yang dilemparkan sesuka hati.

“Saya harap bukalah minda kita sedikit, ini negara pertama di Asia lakukan (beri rawatan kepada rakyat Palestin), sebab apa kita jadi negara pertama di Asia lakukan? Kerana barisan Jemaah Menteri, kerajaan negeri sepakat dalam Kerajaan Perpaduan untuk sama-sama jalankan tanggungjawab bersama,” katanya.

Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira pukul 2 petang.-17/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button