Tan Sri Muhyiddin Yasin yang selesai beri keterangan sejam kepada polis isu ucapan beliau di kempen pilihanraya kecil Nenggiri yang didakwa hina institusi raja tetap berpendirian beliau ‘tak bersalah’.
Menerusi kenyataan bertulis yang diedar kepada media Pengerusi Perikatan Nasional itu mendakwa video ucapan masa kempen pada 15 Ogos telah diputar belit dan disunting pihak tertentu dengan niat memfitnah.
Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan taat setianya kepada institusi raja berperlembagaan jangan dipersoalkan.
Polis telah ambil keterangan beliau di pejabat bekas Perdana Menteri di bangunan MIDA di Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau disiasat kerana kenyataan bahawa bekas Yang Di-Pertuan Agong tidak memanggilnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun mempunyai cukup sokongan anggota parlimen.
Kenyataan itu menimbulkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerana dianggap “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi Agong.
Sebanyak 30 laporan polis dibuat di seluruh negara, termasuk oleh Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah.
Muhyiddin tidak bertemu dengan wartawan dan pulang terus selepas selesai beri keterangan polis.
Dalam kenyataan itu Muhyiddin berharap polis menjalankan siasatan secara telus, adil dan saksama menurut undang-undang dalam isu pelantikan Perdana Menteri sebelum ini.
“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung bawah kebesaran dan kemuliaan raja-raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi raja berperlembagaan jangan dipersoalkan,” katanya.
Menurut Muhyiddin beliau menyerahkan 114 akuan berkanun (SD) yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.
Beliau mendakwa tidak pernah mempertikai keputusan Agong itu.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan yang di-pertuan agong pada masa itu.
“Perkara ini pun telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini,” katanya.
Muhyiddin juga berkata beliau tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai perdana menteri, malah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri kesepuluh Anwar Ibrahim pada 24 November 2022.- 21/8/2024