FOKUS

Isu Najib terus bergema di Perhimpunan Agung UMNO…

Usaha pembebasan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO,Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini meringkuk dalam penjara terus menjadi salah satu isu yang menguasai Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang sedang berlangsung sekarang.

Pada permulaan perhimpunan di Dewan Merdeka WTC,Kuala Lumpur pagi Jumaat para perwakilan diberitahu oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa usul pengampunan penuh Najib paling banyak diterima pada Perhimpunan Agung kali ini.

Katanya usul mengenainya diperoleh daripada 72 bahagian UMNO.

“Usul diterima daripada 171 bahagian dan usul tertinggi diperoleh daripada 72 bahagian ialah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh Datuk Seri Najib Razak.

“Sesungguhnya, bossku terperangkap di sebalik tirai besi namun suara ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti, malah berikan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.

“Justeru, saya memohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga Allah melembutkan hati dan membukakan jalan agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya, mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita tetapi iman kita meyakini Allah adalah pemilik hati manusia, Insya-Allah,” katanya.

Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan dalam kes ini adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang bersifat mutlak.

Pada Perhimpunan Puteri UMNO semalam, Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, ketika menggulung perbahasan turut menyatakan sokongan untuk terus bersama Nooryana Najwa Najib yang juga anak Perdana Menteri keenam itu, dalam memperjuangkan nasib bapanya.

Sementara itu salah seorang Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin secara terbuka menyuarakan pendirian tegas UMNO dalam isu usaha pembebasan Najib.

Bercakap kepada wartawan selepas mendengar ucapan dasar Presiden oleh Datuk Seri Zahid Hamidi pada perhimpunan itu beliau menegaskan UMNO tidak akan berdiam diri jika ada pihak yang cuba menggagalkan usaha mahu pun mematikan niat parti itu untuk terus memperjuangkan pembebasan bekas presidennya, Najib Razak dari penjara.

Beliau mengingatkan agenda pembebasan bekas perdana menteri itu merupakan penzahiran pendirian parti itu yang tidak akan melupakan jasa pemimpinnya.

“Kalau ada pun yang (pihak) lain mempunyai pandangan dan pendirian berbeza, itu tidak bermakna UMNO perlu diam.

“(Agenda pembebasan) Najib itu adalah penzahiran pendirian UMNO yang tidak akan lupa akan jasa pemimpin-pemimpin lamanya dan UMNO tetap melihat bahawa Datuk Seri Najib telah tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Jadi atas sebab itu Umno berpendirian supaya keadilan sebenarnya (perlu) diberikan kepada Datuk Seri Najib,” kata Khaled.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.- 23/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button