Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghasut isu 3R masa kempen PRK Nenggiri

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang pagi Selasa atas dakwaan menghasut dalam ucapan semasa ceramah kempen pilihanraya kecil Nenggiri di Felda Perasau pada 14 Ogos.
Bekas Perdana Menteri itu minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dibacakan kepadanya di mahkamah itu di hadapan hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Muhyiddin tiba di Mahkamah Sesyen Gua Musang, jam 8.43 pagi bagi menghadapi pertuduhan akta itu susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen pilihanraya kecil itu.
Beliau antara lain mempersoalkan kuasa bekas Yang Dipertuan Agong mengenai lantikan Perdana Menteri selepas pilihanraya umum 2022.
Ia telah cetuskan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang.
Pendakwaan Muhyiddin hari ini menjadikan beliau bekas Perdana Menteri pertama yang dituduh mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.
Pihak pendakwaan asalnya memohon jaminan sebanyak RM20,000 namum beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan RM5,000.
Sebutan kes ditetapkan pada 4 November tahun ini.
Hadir sama di mahkamah mengiringi Muhyiddin ialah sebilangan pimpinan utama parti Bersatu.
Antara mereka ialah Setiausahah Agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azmin Ali.