Mental dia okay…peguam Daim bantah pendakwa raya mohon bekas Menteri Kewangan jalani penilaian mental

Isu kesihatan mental Tun Daim Zainuddin menjadi perdebatan di mahkamah antara pihak pendakwa raya dan peguambela bekas Menteri Kewangan bagi kes pengisytiharan asetnya.
Hal ini berbangkit bila Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa bahawa laporan Hospital Assunta mendiagnosis lelaki berusia 86 tahun itu menghidap pelbagai strok.
Maka beliau meminta Daim menjalani penilaian mental untuk menentukan sama ada beliau layak untuk dibicarakan bagi kes pengisytiharan asetnya.
Pendakwa raya mengambil maklum bahawa pemeriksaan hospital swasta mendapati keadaan bekas menteri kewangan itu menjejaskan langkahnya yang mengakibatkannya kerap terjatuh.
“Mahkamah boleh mengarahkan dia (Daim) dihantar untuk pemeriksaan keadaan mentalnya di hospital kerajaan yang diwartakan,” kata Wan.
Bagaimanapun, peguam bela Daim, Nizamuddin Abdul Hamid membantah permohonan penilaian mental itu, berhujah tertuduh hanya mengalami penyakit fizikal dan bukan mental.
“Kami telah diarahkan olehnya bahawa dia memahami pertuduhan itu.
“Kita baru jumpa tertuduh, mental dia okay, kita tak nampak keperluan (untuk penilaian mental),” kata Nizamuddin.
Daim dikecualikan daripada menghadiri sebutan kes pagi ini.
Hakim perbicaraan Azura Alwi kemudian menetapkan 17 Okt untuk memutuskan sama ada hospital kerajaan yang diwartakan seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan penilaian mental ke atas Daim.
Pada 29 Jan, Daim minta dibicarakan kerana gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan aset merangkumi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.
Isterinya Na’imah, 66, juga menghadapi pertuduhan sama kerana gagal mendedahkan aset membabitkan pelbagai tanah, hartanah dan kenderaan mewah.
Dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 hingga 14 Dis tahun lalu, pasangan itu boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.
Daim dibebaskan dengan ikat jamin RM280,000, manakala Na’imah diikat jamin RM250,000.
Pertuduhan dirangka di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.- 27/8/2024