Puad Zarkashi kata Muhyiddin patut letak jawatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya letak jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kerana kini berdepan dengan masalah perundangan yang berat.
Itu pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi yang disuarakan dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Ini ekoran kes bekas Perdana Menteri itu yang didakwa di Mahkamah Sesyen,Gua Musang Selasa atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, di Gua Musang, pada 14 Ogos lalu.
Puad berkata, Muhyiddin sepatutnya mencontohi bekas Presiden UMNO, Najib Razak.
“(Najib) dia letak jawatan bila BN kalah PRU ke-14. Ketika itu dia belum didakwa pun.
“Tetapi kenapa dengan baggage yang berat masih mahu kekal jawatan,” katanya.
Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor menegaskan Muhyiddin tidak wajar menjadikan alasan beliau belum dihukum bersalah untuk tidak berundur.
“Ini berkaitan integriti. Dia didakwa rasuah kerana isu Jana Wibawa. Hari ini pula dia didakwa kerana isu 3R (raja, agama dan kaum).
“Menantunya belum menyerah diri dan Bersatu kalah teruk di Nenggiri,” katanya.- 27/8/2024