Malaysia akan hadiri sidang kemuncak Brics pada 22 hingga 24 Okt

Malaysia menerima jemputan Rusia untuk menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia pada 22 hingga 24 Okt, 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jemputan yang disampaikan oleh Presiden Vladimir Putin sendiri semasa sesi makan malam kerja merupakan bukti jelas mengenai kepentingan Malaysia kepada Rusia.
“Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat akhir kita untuk menyertai kumpulan itu,” kata beliau menerusi catatan di media sosial pada Rabu mengenai lawatan dua hari ke Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan.
BRICS adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pada sesi pleno EEF pada Khamis.
Anwar berkata semasa perbincangan itu, beliau dan Putin menyatakan komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Rusia.
“Ketika Malaysia terus memperluas ruang geoekonomi dan mempelbagaikan hubungan strategik, Rusia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi kita untuk pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata daripada kewangan Islam sehingga pertanian dan pendidikan, potensi untuk Malaysia dan Rusia saling memanfaatkan kepakaran demi manfaat bersama rakyat adalah amat besar.
“Apabila kita membina komitmen dan visi bersama yang dibincangkan semasa lawatan ini, saya optimistik bahawa asas yang diletakkan hari ini akan membawa kepada kerjasama yang bermakna antara Rusia dan Malaysia pada masa akan datang,” kata beliau.
- Bernama-5/9/2024
PM Anwar bertemu Presiden Putin
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, hari ini.

Pertemuan bilateral itu bersempena dengan lawatan kerja dua hari Anwar ke Rusia dan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada sidang pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan, esok.
Anwar tiba di Vladivostok (Rusia) pada 8.33 pagi waktu tempatan (6.33 pagi waktu Malaysia) hari ini. Ini merupakan lawatan pertama ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.
— BERNAMA-4/9/2024